Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Tarikh hari mengundi Parlimen Kimanis, Sabah dijangka bakal diketuai pada Isnin ini.

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi menentukan segala urusan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRK kawasan Parlimen P.176 Kimanis.

Katanya, mesyuarat khas itu akan diadakan pukul 10 pagi di Bilik Gerakan, Menara SPR di Putrajaya.

“Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dan akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari mengundi awal, hari mengundi serta daftar pemilih yang akan digunakan serta segala persiapan lain yang akan dilaksanakan bagi pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Elias, susulan mesyuarat itu satu sidang media khas mengumumkan tarikh penamaan calon, hari mengundi awal dan hari mengundi biasa akan diadakan dijangkakan sekitar 11.30 pagi atau 12 tengahari.

Tindakan PRK menyusul selepas Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lalu telah mengisytiharkan kemenangan bekas penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Manakala November lalu Mahkamah Persekutuan yang dibarisi panel lima hakim juga menolak rayuan Hanifah dan mengekal keputusan Mahkamah Tinggi Pilihan Raya Kota Kinabalu itu dan mengarahkan SPR mengadakan urusan PRK untuk mengisi kekosongan itu.-MalaysiaGazette