KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera menangani masalah dalaman partinya termasuk hubungannya dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Raduan Che Rose berkata, sekiranya masalah dalaman PKR boleh diselesaikan dengan mudah, tidak mustahil Anwar boleh menjadi pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Bayangkan kalau dia boleh tangani isu masalah dalam PKR ini, dia secara automatik akan jadi Perdana Menteri, dia mesti dilihat boleh mengatasi masalah yang sepatutnya dulu.
“Kalau masalah dalaman parti pun dia tidak boleh selesai, apa lagi nak cerita pasal negara, pasal hubungan PH (Pakatan Harapan) dengan pembangkang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai isu yang membelenggu PKR kini di mana Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin dilihat tidak sebulu.
Menurut Raduan, Anwar juga dinasihatkan agar tidak melayan isu-isu yang melibatkan sesetengah pemimpin dalam partinya.
Menurut beliau, Presiden PKR itu buat masa ini harus menumpukan isu-isu rakyat dengan meletakkan kepentingan peribadi di belakang.
“Anwar kena lebih waras dan memandang perkara-perkara negara bukan kepentingan peribadi. Itu kalau dia boleh buat itu, saya tidak nampak ada masalah.
“Nak jadi PM, dia kena berjiwa besar dan jangan biarkan perkara kecil yang boleh jadi isu besar dan menjejaskan peluang dia. Dia tidak boleh bercerita pasal parti lagi, kena fokus kepada isu negara,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

















Setuju dgn pandangan Presiden n Ketua Pegawai Esekutif MPN, DSAI perlu berjiwa besar. Beliau seharusnya menunjukkan kredibiliti sbg seorang pemimpin, bkn hanya bercakap mengenai isu2 remeh yg mana ‘bdk lepasan SPM’ blh bercakap.