KUALA LUMPUR – UMNO menubuhkan tabung khas bagi menjalankan aktiviti parti dan berharap ia mendapat respon dalam kalangan masyarakat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar berkata, tabung UMNO – Tabung Perjuangan itu sebagai usaha mengumpul dana kewangan parti.

Beliau menggalakkan jika organisasi di peringkat cawangan, bahagian atau negeri dapat mengadakan kutipan bagi disalurkan kepada tabung yang sama.

“Ahli UMNO, penyokong dan orang ramai termasuk syarikat korporat juga amat dialu-alukan untuk membantu dengan cara menyumbangkan dana kewangan menerusi akaun yang diwujudkan itu.

“Dana kewangan ini sangat penting bagi pelbagai tujuan antaranya pentadbiran, aktiviti atau program, terutama bagi tujuan mengukuhkan parti dan menghadapi sebarang bentuk pilihan raya di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lenggong itu juga mendoakan agar usaha yang dilakukan itu dapat membantu UMNO kembali sebagai sebuah kerajaan.

UMNO Malaysia telah mewujudkan akaun khas melalui CIMB BERHAD, Nombor akaun: 86-0325726-6 atas nama UMNO – TABUNG PERJUANGAN yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. –MalaysiaGazette