Anthony Loke

PUTRAJAYA – Langkah penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah untuk memperkasakan CAAM serta mengukuhkan kedudukan kewangannya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata keupayaan kewangan CAAM adalah satu daripada faktor yang membawa kepada keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuaan (FAA) Amerika Syarikat untuk menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

“Satu daripada isu yang membawa kepada penurunan penarafan oleh FAA itu adalah CAAM tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk mengupah kakitangan teknikal yang berkelayakan terbaik.

“Apabila kita melakukan penggabungan ini, kita mahu memastikan kita dapat memperkasakan mereka dari segi kewangan, memberikan CAAM lebih kuasa dari segi menetapkan yuran. Bagi tempoh jangka panjang, mereka boleh mengupah kakitangan dan membayar pada kadar yang lebih baik,” katanya kepada media selepas pelancaran #JOMTEKSI di sini, hari ini.

Loke berkata susulan mandat daripada Kabinet, kementerian beliau akan melakukan segala yang perlu dalam beberapa bulan akan datang untuk membawakan pindaan itu ke Parlimen.

Menurutnya, entiti yang digabungkan itu akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada industri dan CAAM akan menjadi pengawal selia utama.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan kerajaan akan menggabungkan kedua-dua entiti itu dan fungsi utama MAVCOM akan dipindahkan kepada CAAM.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.