KUALA LUMPUR – Rayani Air yang pernah dibatalkan lesen penerbangannya tiga tahun lalu dikatakan akan beroperasi semula.

Perkara itu didedahkan oleh pengasas Rayani Air, Ravi Alagendrran menerusi Facebooknya semalam.

Katanya, Rayani Air akan beroperasi semula dengan pengurusan serta wajah baru tapi masih lagi mengekalkan konsep penerbangan patuh Syariah.

“Pihak pengurusan juga masih menunggu kelulusan daripada kerajaan. Teruskan menyokong agar semua pelanggan mendapat manfaat bersama. Terima kasih,” katanya.

Syarikat penerbangan itu juga pernah terpalit dengan kegagalan membayar tunggakan gaji kepada lebih 300 kakitangannya.

Bagaimanapun, sebelum menjelang Hari Raya pada tahun lalu, Ravi menerusi Facebooknya memaklumkan telah memasukkan tunggakan gaji kepada kakitangan Rayani Air.

Pembayaran itu membabitkan sejumlah RM1 juta.

Rayani Air memulakan operasi pada Disember 2015.

Tetapi pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta dipercayai akibat masalah kewangan.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhadap pentadbiran dan audit syarikat.

Rayani Air didapati melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan lemah. – MalaysiaGazette