KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Malaysia didakwa tidak akan mengunakan ujian poligrafi dalam siasatan tuduhan serangan seksual yang dibuat Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber yang enggan dinamakan memberitahu MalaysiaGazette bahawa tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Sumber dalaman polis menafikan keperluan melakukan ujian poligrafi seperti yang dilaporkan sebuah media awal hari ini,” katanya menerusi aplikasi WhasApp, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada satu laporan media yang mendakwa ujian poligraf antara pilihan yang akan dipertimbangkan polis bagi menyiasat kes antara Yusoff Rawther dan Anwar Ibrahim.

Laporan memetik sumber itu berkata, langkah tersebut diambil kerana pegawai penyiasat langsung tidak mempunyai butiran mengenai dakwaan serangan seksual yang dikatakan berlaku pada 2 Oktober tahun lalu di rumah presiden PKR itu.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) semalam telah memgambil keterangan Anwar selama sejam di Bukit Aman.

Ia sehari selepas Yusoff yang dipanggil buat kali kedua untuk disoal siasat selama 10 jam bagi kedua-dua sesi keterangan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang.

Siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat Yusoff pada 7 Disember lalu. -MalaysiaGazette