Mohd Khairul Azam (kanan) dan Dr. Ibrahim ALi (dua dari kiri) mendengar taklimat dari wakil penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang yang menjadi mangsa kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR – Kalau kerajaan Selangor boleh tolong isu tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dan pemimpinnya turun beri geran kepada keluarga bekas komunis di Serendah, kenapa penduduk Melayu di Kampung Melayu Puncak Kundang dilayan seperti kaum tidak bermaruah?

Di mana kerajaan negeri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika rakyat dihalau dan hak mereka dinafikan, demikian tegas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Katanya, binatang tidak ada akal pun marah jika sarang mereka diganggu, ini apatah lagi kediaman penduduk yang dibina sekian lama sewenang-wenangnya diroboh.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra berkata, pihaknya akan membantu penduduk malang itu membawa kes berkenaan ke mahkamah untuk mendapatkan hak mereka.

“Kita akan mempertahankan hak undang-undang penduduk Melayu Kampung Melayu Puncak Kundang ini sehingga ke titisan darah terakhir dan alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” ujarnya dalam kenyataan kepada media.

Semalam, beliau bersama Presiden, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dan barisan kepimpinan parti Putra menziarahi mangsa perobohan rumah di kampung itu.

Biro Aduan Awam dan Undang-Undang itu juga menerima salinan semua kertas saman yang difailkan kedua pihak, dan beliau berpendapat, pemilik tanah berhak mendapatkan milikan kosong tanah itu.

Mohd Khairul Azam bertanya, benarkah penduduk di situ menceroboh tanah berkenaan, sedangkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Gombak tidak pernah melarang mereka meneroka dan mendudukinya.

“Saya akan membela nasib mereka dan itu antara ‘point’ yang akan dihujahkannya di mahkamah.

“Bagaimanapun, seeloknya kerajaan Selangor masuk campur dan membantu mewujudkan situasi menang-menang antara penduduk dengan pemaju yang memiliki tanah berkenaan.

“Lagipun, mereka ini bukan setinggan. Mereka sudah teroka dan telah memohon menduduki secara sah di situ, malah tiada siapa melarangnya,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, berdasarkan maklumat diterimanya, penduduk di situ telah meneroka tanah hutan berkenaan untuk pertanian dan perumahan sejak tahun 1986.

Kata beliau, pada 2010, wakil penduduk telah membuat carian dan rekod serta PTG mengesahkan tiada pemilik berdaftar tanah tersebut.

“Dari tahun 1986 juga tiada sebarang larangan meneroka atau membina penempatan di kawasan tersebut diumumkan kerajaan negeri, sehingga tahun 2010, penduduk memohon kepada PTG Gombak untuk memohon tanah itu bagi tujuan pertanian.

“Permohonan disokong oleh penghulu Mukim Rawang dan tiada sebarang penolakan diberikan dari PTG Gombak terhadap permohonan itu, manakala bekalan elektrik dan air juga diterima penduduk tanpa masalah.

“Namun 2013, seorang penduduk telah membuat semakan pelan di PTG Gombak dan rekod menunjukkan tanah itu masih tiada pemilik, sehingga pertengahan 2017, sebuah syarikat Wangsa Masyhur Sdn. Bhd. (WMSB) memfailkan permohonan milikan kosong tanah dan mahkamah memberi perintah pelaksanaan pada 5 Mei 2018,” katanya.

Menurut peguam itu, WMSB mengaku telah memiliki tanah berkenaan dari kerajaan Selangor pada 2002.

Bagaimanapun, penduduk mempersoalkan kerana pada tahun itu tiada maklumat pemilikan direkodkan di PTG Gombak.

Namun, WMSB menyatakan tanah mereka telah diceroboh, sedangkan fakta menunjukkan penduduk meneroka di situ sejak 1986 dan tiada sebarang notis larangan atau pagar dibina oleh syarikat terbabit dari 2002 hingga 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast