Azizulhasni Awang kini dirawat di sebuah hospital di Brisbane.

KUALA LUMPUR – Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang yang mengalami kecederaan serius pada pusingan pertama acara keirin Piala Dunia di Brisbane, Australia hari ini.

Pada acara Piala Dunia yang berlangsung di Velodrom Anna Meares, The Pocketrocketman berlanggar sesama pelumba lain dan terjatuh.

Menceritakan detik-detik kemalangan itu, Azizulhasni menggambarkan kesakitannya seperti ‘ayam kena sembelih’.

“Saya cuba memecut ke hadapan untuk memotong pelumba dari Poland (Krzysztof Maksel) yang berada di hadapan. Ketika cuba memotong, pelumba dari Jepun (Tomoyuki Kawabata) yang datang dari belakang juga cuba untuk memecut ke hadapan dan mengakibatkan saya terhimpit dengan pelumba dari Poland dan terus ‘mencium’ permukaan velodrom bersama beberapa pelumba lain.

“Saya dimaklumkan pelumba Jepun itu disqualified kerana salah beliau. Malangnya, keputusan itu tidak menghilangkan sakit dan luka-luka di badan saya. Saya terseret jauh, mata dipejam, terasa kulit badan bergeseran dengan permukaan kayu, panas, pedih dan sakit, situasi amat huru hara… terdengar juga jeritan daripada pelumba lain.

“Dalam hati saya hanya mampu menyebut nama ALLAH dan berdoa supaya tidak ada kayu mencucuk ke dalam tisu badan saya seperti kejadian pada tahun 2011 lalu. Apabila seretan sudah berhenti, saya mengerang kesakitan, tidak dapat bernafas hasil dari hentakan jatuh dan juga dilanggar pelumba dari belakang saya pada kelajuan at least 70 kilometer sejam

“Saya dah macam ayam kena sembelih. Ramai orang mengelilingi saya, saya tidak dapat membuka mata tapi terdengar suara jurulatih, John Beasley, beliau suruh saya baring, relax dan cuba bernafas. Saya cuba relax kan otot-otot saya semampu boleh dan fokus kepada pernafasan. Sakitnya bukan kepalang.

“Apabila pernafasan pulih sedikit saya memberanikan diri untuk membuka mata. Saya nampak ramai orang, jurulatih di hadapan saya. Saya beritahu mereka, bahu saya sakit, rusuk hadapan dan belakang belah kanan juga sakit dan saya cakap tolong buka helmet saya ini, lemas!,” cerita Azizulhasni mengenai insiden tersebut.

Azizulhasni berkata, dia tidak dibenarkan oleh Beasley untuk bersaing dalam peringkat repecharge biarpun tetap bersemangat memburu tempat ke saingan final dalam keadaan dirinya yang mengalami kesakitan dan luka-luka.

“Jurulatih (Beasley) memberitahu yang beliau tidak membenarkan saya meneruskan perlumbaan dan saya harus ke hospital. Saya cakap lagi, ‘i will be fine, just one race at the time’ dan kita tengok bagaimana. Jawapan masih sama daripada beliau dan saya tidak berjaya memujuk beliau.

“Saya hanya dapat melihat skinsuit saya dipotong dan luka saya dicuci, sakitnya ya amat. Nak jerit tapi takut nanti saya bertukar jadi ‘hijau’. Buat waktu ini, saya masih menunggu feedback daripada doktor akan kondisi diri saya dan berharap tidak ada kecederaan serius.

“Kepada penyokong saya khusus rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang saya, seribu kemaafan kerana tidak dapat meneruskan perlumbaan dan tidak dapat mengulangi kejayaan seperti di New Zealand tempoh hari,” ujarnya.

Beliau kini dirawat di sebuah hospital di Brisbane.- MalaysiaGazette