Mohd Zaqhwan Zaidi

SEPANG – Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi yakin pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA mampu berada di podium Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) ‘Sepang 8 Hours’ berdasarkan keputusan kelayakan pada Khamis.

Pasukan yang menggunakan jentera CBR1000 RR turut dibarisi oleh pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dan Somkiat Chantra dari Thailand itu berada di kedudukan kedua terbaik selepas pasukan Yamaha Sepang Racing.

“Prestasi pada pusingan kelayakan boleh dikatakan sangat bagus, kita tidak jangka boleh berada di tempat kedua. Kalau di Suzuka 8 Hours peluang agak sukar kerana perlu bekerja keras untuk berada dalam kalangan 10 terbaik.

“Beraksi di laman sendiri, keyakinan itu lebih tinggi dan kebanyakan pasukan tidak biasa berlumba di Litar Sepang. Ia beri kelebihan kepada kami. Untuk perlumbaan esok, kami akan cuba yang terbaik untuk berada di podium,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Walaupun menyedari kelebihan yang ada, namun pelumba berusia 24 tahun itu menegaskan dalam aksi endurance, keputusan akhir tidak dapat dijangka.

Beliau berharap ketiga-tiga pelumba Honda Asia-Dream Racing with SHOWA dapat mengekalkan kerjasama dan mengelak sebarang kesilapan yang boleh mengganggu prestasi pasukan.

“Kami harus berjaga-jaga dalam perlumbaan esok, kerana dalam tempoh lapan jam macam-macam perkara boleh jadi. Kita harus sentiasa peka, tidak boleh leka, perlu beri 100 peratus fokus,” katanya.

Mohd Zaqhwan percaya pasukannya akan beri saingan sengit kepada pendahulu kelayakan EWC Sepang 8 Hours iaitu pasukan Yamaha Sepang Racing yang dibarisi oleh juara tiga kali Suzuka 8 Hours Michael Van der Mark serta dua pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah dan Franco Morbidelli. – MalaysiaGazette