Ahmad Dhani
Ahmad Dhani

KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia Ahmad Dhani Prasetyo lebih berminat untuk terus bergiat aktif dalam politik berbanding muzik sebaik dibebaskan dari Penjara Cipinang, Jakarta Timur pada 28 Disember ini.

Peguamnya, Ali Lubis berkata, anak guamnya bakal bebas daripada tahanan lebih awal selepas mendapat pengampunan sebulan untuk kes yang disabitkan sebelum ini.

“Setakat ini dia beberapa kali mengungkapkan dia sudah menjadi ahli politik, bererti dia mungkin pernah bercakap dengan seseorang terlibat dalam politik saat ini,” katanya memetik laporan kompas.com.

Namun begitu, kata Ali, pengasas kumpulan Dewa 19 itu dengan muzik tidak boleh dipisahkan.

“Dia tidak boleh berpisah daripada muzik, cuma mungkin selepas ini dia lebih jarang muncul berbanding dulu,” katanya.

Ahmad Dhani dipenjarakan selama setahun sejak 28 Januari lalu selepas didapati bersalah menyebarkan mesej kebencian di Twitter.

Namun, suami Mulan Jameela itu segera membuat rayuan di Mahkamah Jawa Timur.
Untuk rekod Mulan kini bergelar wakil rakyat selepas berjaya memenangi kerusi kawasan Jawa Barat XI dalam pilihan raya umum pertengahan April lalu.

Penyanyi Makhluk Tuhan Paling Seksi itu bertanding menggunakan tiket Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pimpinan Prabowo Subianto.

Mahkamah kemudian meringankan hukuman Ahmad Dhani daripada 12 bulan penjara menjadi tiga bulan, dengan enam bulan tempoh percubaan.

Sementara itu, dalam kes menyebarkan ucapan kebencian di media sosial, di Mahkamah Jakarta Selatan menetapkan Ahmad Dhani dipenjara 18 bulan pada 31 Jan lalu.

Selepas membuat rayuan hukuman tersebut dipendekkan menjadi 12 bulan dan Ahmad Dhani juga diberi potongan hukuman sebulan untuk kes terbabit.

Ali berkata selama ini faktor yang membawa nama Ahmad Dhani popular adalah muzik namun buat masa ini jadual persembahannya tidak terlalu padat.

“Dalam sebulan hanya beberapa kali, selebihnya kehidupan sehari-harian Ahmad Dhani lebih kepada politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette