Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Lim Guan Eng telah terperangkap dengan manifesto tanpa kajian yang dijanjikan kepada rakyat di negara ini.

Maka, terpulang kepada Menteri Kewangan itu kalaupun mahu mendakwa 60% janji manifesto telah ditunaikan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, hendak kata 100% janji manifesto telah ditunai pun tidak mengapa.

Guan Eng juga boleh mendakwa kononnya Kerajaan PH adalah kerajaan yang bersih, tiada penyelewengan, tiada rasuah dan sebagainya.

“Cakaplah apa saja. Itu hak Lim Guan Eng untuk bercakap. Namun Lim Guan Eng jangan lupa bahawa rakyat sebenarnya sangat bijak. Mereka boleh menilai. Rakyat tahu segalanya.

“Dan rakyat punya kuasa. Lebih besar kuasanya daripada Lim Guan Eng. Apa kuasanya. Tunggu PRU 15 akan datang,” ujarnya.

Baru-baru ini Guan Eng berkata, sebanyak 60 peratus daripada janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah ditunaikan.

Setiausaha Agung DAP itu juga memaklumkan rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan PH bagi membetulkan masalah kewangan dan status ekonomi negara.

Menurut beliau, kerajaan memerlukan masa untuk melakukan reformasi kerana pentadbiran kerajaan terdahulu tidak boleh ditukar sekali gus dalam masa tiga, empat tahun. – MalaysiaGazette