Sebanyak 42 kes baharu keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang, Baling telah direkodkan sehingga kini. - KP Kesihata, Datuk Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan memberi imunisasi tambahan kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah secara berperingkat-peringkat bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan ini akan dijalankan secepat mungkin.

Imunisasi tambahan itu susulan satu kes jangkitan polio di Sabah yang dilaporkan 8 Disember lalu yang melibatkan seorang bayi lelaki warga negara Malaysia berumur tiga bulan di Tuaran.

Bayi tersebut masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil serta masih diberi bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sejak kes polio tersebut dikesan, sehingga kini, tiada kes baru polio dilaporkan.

Sehingga 14 Disember 2019, langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang telah dilakukan dan sedang diteruskan termasuk aktiviti pengesanan kes-kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis (iaitu proksi kepada penyakit poliomyelitis) di kawasan sekitar tempat tinggal kes sedang diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko.

Katanya, seramai 1,553 orang telah diperiksa dan tiada yang bergejala AFP dikesan dan pengambilan sampel najis daripada 20 orang kontak rapat bayi tersebut telah dijalankan untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

Enam sampel persekitaran dari kawasan terlibat dan kawasan berisiko telah diambil bagi pengesanan kehadiran virus polio dan sedang menunggu keputusan makmal; dan pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui persampelan air kumbahan juga diteruskan di enam loji rawatan air kumbahan terpilih di Sabah.

“Sehingga kini, tiada virus polio liar (wild) atau vaccine-derived poliovirus (VDPV) dikesan dalam sampel persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.

Sehingga 14 Disember 2019, seramai 59 orang kanak-kanak berumur 2 bulan hingga 15 tahun di kawasan tersebut yang tercicir imunisasi telah diberikan vaksin polio.

Kesemua mereka ini merupakan kanak-kanak bukan warga negara.

“KKM juga terus berhubung dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan maklumat terkini situasi polio secara global.

“Satu kerjasama bersama pihak Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) sedang diperhalusi bagi mendapatkan bekalan vaksin pada kos yang rendah (disubsidi oleh UNICEF) untuk program imunisasi kanak-kanak bukan warganegara di Sabah.

“Pemberian vaksinasi tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang terpilih. Selain itu, KKM juga akan memantapkan kerjasama dua hala dengan kerajaan Filipina termasuk program imunisasi bagi kanak-kanak warganegara negara tersebut yang berada di Sabah,” ujarnya.

Dr Noor Hisham menekankan cara terbaik untuk mencegah penyakit polio adalah melalui imunisasi kerana penyakit berjangkit seperti polio tidak mengenali sempadan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.