KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memuktamadkan ketiadaan pengagihan baki hak penyiaran Liga Malaysia 2019 kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier.

Presiden MFL, Hamidin Mohd. Amin berkata, MFL tidak meraih pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan sejumlah RM3 juta dan RM1 juta masing-masing kepada 12 pasukan Liga Super dan 11 pasukan Liga Premier.

Jelas Hamidin, berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada pasukan akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan hak penyiaran dan komersial adalah kurang daripada RM18 juta.

“Liga Malaysia musim 2019 berjalan tanpa penaja utama hak penyiaran. Meskipun tanpa penajaan ini, MFL tetap menguruskan operasi Liga Malaysia dengan baik apabila semua pertandingan iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup berjaya dianjurkan.

“Jika pendapatan untuk diedarkan kepada pasukan adalah kurang daripada RM18 juta, maka jumlah yang akan diedarkan kepada pasukan akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL di Petaling Jaya semalam.

Bagaimanapun, biarpun berdepan kekangan ketiadaan penaja utama, MFL selaku pengendali Liga-M tetap menunaikan tanggungjawab dengan mengagihkan separuh daripada jumlah hak penyiaran dan komersial seperti dijanjikan pada 15 Julai lepas.
Pasukan Liga Super menerima RM1.5 juta sementara RM500,000 disalurkan kepada pasukan Liga Premier.

“MFL tetap memastikan agihan hak pendapatan kepada pasukan pada 15 Julai lepas dan MFL percaya bahawa mereka (pasukan) memahami situasi yang berlaku yang mana tiada penaja utama hak penyiaran pada musim 2019,” katanya.

Pada masa sama, Hamidin mejelaskan MFL akan membuat bayaran pendapatan untuk musim 2020 berdasarkan pendapatan penajaan diraih dan pengagihan itu bakal dilaksanakan mengikut Perlembagaan MFL.

Dalam pada itu, 24 rakan kongsi MFL bersetuju untuk meminda Artikel 16.1, Perlembagaan MFL berkenaan komposisi Ahli Lembaga Pengarah MFL yang mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tidak lagi berada dalam Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Pindaan ini dibuat bagi menyelaraskan kedudukan CEO MFL sama seperti kedudukan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak berada dalam senarai barisan Exco FAM. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.