Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng meminta pihak-pihak yang mendakwa beliau memusnahkan kekuatan ekonomi dan kewangan masyarakat masyarakat Melayu dengan menjual syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil dengan mengemukakan bukti.

Ini kerana, Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau tidak pernah meluluskan penjualan aset-aset kerajaan dan GLC di bawah Khazanah Nasional Berhad yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Dan saya bukan juga Pengarah Khazanah,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang, hari ini,

Beliau berucap demikian sebagai menjawab dakwaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa pensijilan halal telah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan dan kenyataan Ketua Bahagian UMNO Bukit Gelugor yang DAP mendaftar pengundi hantu dalam kalangan warga China dan India.

Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan berkata, semua tuduhan itu dilemparkan tanpa sebarang bukti.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin DAP dan meminta pihak berkuasa menghentikan bibit-bibit kebencian dalam kalangan kumpulan etnik berbeza di Malaysia.

Dalam ucapannya, Guan Eng mendakwa pemimpin UMNO dan Pas terus mensasarkan kaum bukan Melayu dan bukan Islam untuk kembali berkuasa.

UMNO dan Pas, dakwanya, menggunakan formula berbahaya, memecah belah dan membinasakan untuk menentang pembiayaan kepada sekolah-sekolah vernakular.

Ia termasuk mencadangkan sekolah-sekolah berkenaan ditutup, boikot produk dan perniagaan bukan Islam, menentang bukan Islam menjadi menteri-menteri Kabinet dan melupuskan hak mengundi kaum India dan Cina.

Selain itu, beliau turut mendakwa kedua-dua parti pembangkang itu menunjukkan penghinaan terhadap amalan agama bukan Islam dan menyebarkan pembohongan terhadap bukan Islam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP dan PH dibenci kerana mengamalkan kesederhanaan dalam mewakili seluruh rakyat Malaysia – bukan satu komuniti atau satu agama.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli parti itu bersatu menentang pihak-pihak yang mahu memusnahkan PH dan DAP dan keharmonian kaum dan agama negara ini.

“Pihak berkuasa juga harus memahami rasa tidak selesa bukan Melayu atau bukan Islam yang telah menjadi sasaran tidak adil,: katanya dengan memberi contoh kes nyanyian lagu Negaraku.

Guan Eng mendakwa pelajar sekolah rendah menyanyi lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin telah menimbulkan banyak persoalan hingga siasatan polis dilakukan.

Namun, perkata sama dakwanya tidak berlaku apabila Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab.

“Sedangkan, pelajar berkenaan hanya mengikuti buku teks yang dikeluarkan pada tahun 2014 dan digunakan pada tahun 2015,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurutnya, DAP bersetuju lagu Negaraku hanya boleh dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia. – MalaysiaGazette