Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran melawat kawasan kemalangan projek

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Cawangan Miri, Kementerian Sumber Manusia telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca
kemalangan dan sekiranya terdapat salah laku di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atau Akta Kilang dan Jentera 1967.

Malah, JKKP telah mengeluarkan notis larangan bagi aktiviti berkaitan mengangkat dan mengikat Beam Girder di lokasi tersebut.

Dalam kejadian itu, lima unit beam girder tumbang ketika proses mengikat beam girder sedang dilakukan pada jam 2.40 petang, 13 Disember 2019 yang lalu.

Menurut JKKP, Dua orang pekerja yang cedera ringan dalam kemalangan di tapak pembinaan Sungai Miri dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Miri.

Menurut rekod JKKP, sektor pembinaan merupakan salah satu sektor yang mempunyai kadar kemalangan maut yang tinggi iaitu 13.4 bagi setiap 100,000 pekerja dan secara purata, 4,000 kes kemalangan yang berlaku pada tahun 2015 sehingga 2018.

Kadar ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada purata kadar kemalangan maut negara pada tahun 2018 iaitu 4.14 per 100,000 pekerja.

Sehingga November 2019, sebanyak 123 tindakan pendakwaan telah dilaksanakan, 1109 tindakan kompaun telah diselesaikan dengan melibatkan keseluruhan penalti sekitar RM 3.7 juta dan 4, 244 Notis Larangan dikeluarkan ketika aktiviti penguatkuasaan dijalankan. – MalaysiaGazette