KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk memastikan kelestarian ekosistem, sebanyak 1,000 anak pokok bakau telah ditanam pada program Penanaman Pokok Bakau di Pulau Ketam, semalam.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, program yang menyaksikan kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Perhutanan Perlis dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu membuktikan komitmen TNB terhadap usaha memelihara alam sekitar sebagai warisan generasi masa hadapan.

Dalam ucapannya, Ir, Husaini berkata, program penanaman anak pokok bakau ini bukanlah inisiatif pertama TNB, berikutan penanaman lebih 9,000 anak pokok bakau di Manjung, Perak, sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat utiliti nasional itu bercadang untuk “menanam lebih 10,000 anak pokok bakau di sepanjang pesisir pantai Semenanjung Malaysia.”

Turut hadir pada majlis, Menteri Besar Perlis, Datuk  Seri Azlan Man dan Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Agmadni.

Azlan berkata, “Pokok bakau amat penting di persisiran pantai. Saya berharap dengan kombinasi TNB, Jabatan Perhutanan, badan bukan kerajaan, penduduk tempatan, tempat ini juga akan menjadi daya tarikan pelancongan.”

Program untuk menanam semula pokok bakau dilakukan TNB selepas menyedari peranan penting pokok bakau dalam memperkukuhkan dan memperkayakan sumber nutrien tanah yang penting untuk ekosistem.

Ir. Husaini berkata, TNB bercadang untuk meneruskan penanaman anak pokok bakau di sepanjang pesisir pantai Semenanjung Malaysia.

Selain penanaman anak pokok bakau, TNB turut menanam lebih 12,000 anak pokok rimbun dalam melalui program Tree for Tree di seluruh Semananjung Malaysia.

Program penanaman pokok termasuk di bawah tiga tiang utama Tanggungjawab Korporat TNB, iaitu alam sekitar, pendidikan dan ekonomi, kata Ir. Husaini.

Program ini disertai 300 sukarelawan yang terdiri daripada penduduk Kampung Pulau Ketam, Kampung Seberang Alor dan Kampung Seberang Jaya; pelajar dan pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta warga TNB. – MalaysiaGazette