Young Syefura Othman
Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Masalah kesesakan lalu lintas di bandar Bentong, Pahang dijangka selesai tahun depan sebaik lebuh raya Projek Central Spine Road (CSR) siap, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Katanya, dengan siapnya lebuh raya itu, kerajaan akan menaiktaraf jalan dari simpang lampu isyarat Ketari hingga ke Sungai Marong, sekali gus akan melancarkan aliran trafik di pecan Bentong.

“Tunggu CSR highway siap tahun depan dan selepas itu juga kita naik taraf jalan dari simpang lampu isyarat Ketari hingga ke Sungai Marong,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Rara berkata demikian menjawab rungutan netizen, Arifmddin yang bertanyakan bila boleh selesaikan masalah kesesakan teruk di Bentong setiap hujung minggu Sabtu dan Ahad.

CSR Bentong antara tiga daripada enam pakej yang diberi keutamaan kerajaan Persekutuan di era Barisan Nasional (BN) bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang sepanjang 351.3 kilometer.

Projek itu dibina secara berperingkat melibatkan Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong, Lipis sejauh 93.8 kilometer, Pakej 4 dari Kampung relong ke Raub (50 kilometer) dan Pakej 5 dari Raub ke Bentong (54 kilometer).

Tiga pakej itu dilaksanakan atas faktor kawasan kemalangan (Pakej 3), faktor kesinambungan jajaran (Pakej 4) dan faktor kesesakan lalu lintas (Pakej 5).

Sementara itu, Pakej 1 dan 2 Projek CSR ini bermula dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit di Kelantan sejauh 47 kilometer) dan dari Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang (59 kilometer). – MalaysiaGazette