Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Tommy Thomas mengosongkan segera kerusi Peguam Negara kerana tindakan tidak profesional dan memalukan sepanjang menjawat jawatan itu.

Tommy yang dilantik bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) November tahun lalu, sering kali melakukan tindakan yang tidak melambangkan jati diri sebagai seorang Peguam Negara.

Tegas Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad, peranan beliau yang sepatutnya menjadi benteng kepada kedaulatan negara dan keselamatan rakyat juga gagal dilaksanakan.

Katanya, antara tindakan dan pendirian Tommy yang memalukan institusi kehakiman negara ialah menggugurkan dakwaan rasuah  melibatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Phang Li Koon yang sedang dalam perbicaraan.

“Serta mengetepikan Majlis Raja-Raja dalam isu meratifikasi Statut Rom dan memberi cadangan yang salah kepada kerajaan dalam isu yang sama.

“Beliau juga memfailkan saman sivil bagi pihak Kerajaan Persekutuan ke atas Kerajaan Kelantan dalam isu tanah Orang Asli, sedangkan isu berkenaan tanah dan hutan di bawah kuasa kerajaan negeri yang dijamin dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, Tommy juga gagal menyediakan salinan dokumen kepada pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak menyebabkan kes berprofil tinggi itu terpaksa ditangguhkan.

Selain itu, ujar Kamaruzaman, tindakannya memfailkan afidavit bahawa anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia bukan sebab dipukul, sedangkan kes itu masih dalam perbicaraan juga telah menjatuhkan kredibilitinya sebagai Peguam Negara.

“Banyak lagi tindakan memalukan yang dilakukannya sepanjang memegang jawatan Peguam Negara seperti mengarahkan Nor Syazlin Mansor, peguam yang mengatakan Allahyarham Adib dipukul supaya digugurkan bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kes inkues arwah Adib, sebaliknya, menggantikan dengan peguam daripada pejabatnya sendiri.

“Perbuatannya menari dalam majlis sosial bersama peguam kontroversi, Siti Kassim dan Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum turut dirakam dan viral dalam medium sosial sehingga memalukan negara.

“Di samping, menarik balik rayuan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan mengaibkan pegawai bawahannya atas rayuan yang kononnya dibuat di luar pengetahuan,” katanya.

Terkini, kata Kamaruzaman, pada 13 Disember lalu, Tommy tidak membuat rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Seksyen 13 SOSMA sebagai tidak berperlembagaan, sedangkan seksyen itu tidak membenarkan ikat jamin kepada mereka yang dituduh di mahkamah di bawah prosedur SOSMA.

Lebih parah lagi, Tommy juga mempunyai masalah moral dari sudut pemikiran seperti sebelum dilantik Peguam Negara, beliau pernah mengemukakan bahawa perlakuan homoseks tidak patut dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana masyarakat tidak menganggapnya sebagai perbuatan jenayah.

“Ini memperlihatkan bagaimana pola pemikiran Tommy yang liberal dan langsung tidak menepati norma masyarakat di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.