skuad muda Liverpool dimalukan 5-0 oleh Aston Villa dalam aksi suku akhir Piala EFL Carabao di Villa Park awal pagi tadi

LONDON – Mereka adalah pasukan termuda dalam sejarah kelab Liverpool dengan purata umur pemain sekitar 19 tahun sahaja.

Bagaimanapun perjalanan the Kops bawah 23 tahun itu dalam kempen Piala Carabao musim ini akhirnya sampai ke penghujung semalam apabila dibelasah 5-0 oleh Aston Villa.

Dalam aksi Carabao EFL Cup di Villa Park awal pagi tadi, Aston Villa melanyak skuad muda the Kops dengan berpesta golĀ  sekaligus mara ke separuh akhir buat julung kali selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2013.

Jurgen Klopp sudah tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menurunkan skuad mudanya kerana skuad utama bersiap untuk aksi piala dunia kelab menentang Monterrey di Qatar awal pagi esok.

Walaupun beberapa pemain akademiknya termasuk penyerang berusia 16 tahun, Harvey Elliott dan pemain tengah, Herbie Kane menyerlah namun mereka terpaksa akur dengan kekuatan tangan lawan.

Villa mengidamkan aksi final Carabao di Wembley selepas bekas juara lima kali gelaran itu mendahului Liverpool sebanyak 4 gol di separuh masa pertama dan gol kelima pada minit kecederaan akhir ke-92 sebelum wisel penamat ditiup pengadil.- MalaysiaGazette