Nazarry Rosli

KUALA LUMPUR – Kecoh di media sosial apabila Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.50 sen seunit – agihan terendah sejak penubuhan tabung amanah itu pada tahun 2019.

Macam-macam perkara dibangkitkan termasuk dakwaan kerugian yang dihadapi oleh peminjam yang membuat pembiayaan ASB (ASBF) melalui bank-bank. Betul ke rugi?

Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia, Nazarry Rosli berkata, dakwaan itu menunjukkan rakyat Malaysia khususnya pelabur Bumiputera masih belum lagi memahami makna pelaburan serta konsep pulangan dan risiko.

Sedangkan, katanya, ketika membuat pembiayaan ASB, sedar atau tidak, peminjam sebenarnya sudah mengambil risiko.

Risikonya, jika agihan dividen tinggi daripada kadar faedah sudah tentu pelabur untung besar tetapi jika agihan pendapatan ASB rendah daripada kadar faedah, peminjam perlu menambah (jurang perbezaan) nilai ansuran pinjaman.

“Pelaburan ke atas ASB itu sebenarnya tidak ada risiko kerana RM1 yang dilaburkan, pulangnya tetap RM1. Mana ada risiko.

“Tetapi, apabila kita melabur menggunakan wang yang dipinjam dan agihan dividen yang diperoleh rendah tidak melepasi kadar faedah yang ditetapkan, memang peminjam perlu tambah.

“Tapi dalam isu ini, agihan pendapatan ASB masih lagi tinggi berbanding kadar faedah ASBF rata-rata antara 4.2% hingga 5% yang dikenakan. Cuma jurang keuntungan lebih kecil, belum sampai tahap peminjam perlu menambah wang.

“Saya berpendapat peminjam sepatutnya sudah jelas dengan perkara ini sebelum mereka menandatangani perjanjian pembiayaan,” jelas Nazarry lagi.

Mengulas komen-komen negatif netizen yang mengancam untuk menebus pelaburan mereka, Nazarry berkata, kenapa perlu mempertikaikan perkara-perkara yang sudah diketahui.

“Situasinya sama sahaja kalau kita perlu membuat ansuran bank untuk bayar rumah sebanyak RM1,000 sebulan. Kalau rumah itu disewa sebanyak RM1,500, dapatlah aliran tunai positif. Tetapi kalau rumah tersebut disewa RM800 sudah jadi aliran tunai negatif kerana peminjam kena top-up.

“Pelabur yang bijak dan memahami kedudukan pasaran tempatan dan ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi tidak akan membuat bising dengan isu-isu sebegini. Apapun pilihan untuk memahami berada di tangan pelabur sebenarnya,” jelas beliau.

Menjawab soalan yang dilontarkan, Nazarry bertanya, beranikah pelabur-pelabur Bumiputera menebus pelaburan mereka daripada produk sebaik ASB dan di mana mahu diletakkan pelaburan yang ditebus itu.

“Dulu mungkin ada Bank Rakyat yang mampu memberi agihan dividen sebanyak 15% kepada ahli-ahlinya tetapi sekarang kuota untuk menjadi ahli Bank Rakyat sudah habis.

“Hendak melabur di Tabung Haji juga agihannya lagi rendah (1.25% pada tahun 2019),” katanya.

Soalnya lagi, berapa ramai pula pelabur Bumiputera mampu menyimpan dalam deposit tetap memandangkan kebanyakan pelabur biasa hanya memiliki akaun simpanan – itu pun wang yang ada digunakan untuk duit belanja.

“Kalau hendak letak dalam unit amanah lain, semuanya memberi risiko kepada modal. Kalau hendak beli bon pun masih ada risiko. Tidak seperti ASB yang berharga tetap.

“Jika sampai tahap sangat tidak puas hati bolehlah simpan bawah bantal, itu pun terpaksa berdepan dengan kadar inflasi pula,” ujarnya.

Lantaran itu, beliau yang juga seorang perancang kewangan bertauliah menasihatkan pelabur-pelabur ASB agar tidak beremosi sebaliknya menggunakan masa penangguhan urus niaga sebagai tempoh bertenang.

Pada ketika ini, pelabur ASB bertanyalah pada diri sendiri, jika tidak menyimpan di ASB melalui pinjaman mampukah diri sendiri menjadi pelabur berdisiplin.

Sedangkan katanya, melabur melalui pembiayaan ini sebenarnya mendisiplinkan diri melabur secara paksa.

“Tetapi pinjaman itu yang dilaburkan dalam ASB itu lebih berbaloi berbanding meminjam untuk membeli kereta, yang berisiko susut nilai lebih besar. ASB tidak.

“Bertenang dulu. Pada 2 Januari nanti, pergilah ke kaunter ASB, cuba semak baki akaun. Ketika itu barulah buat keputusan – sama ada betul ke amarah kita pada agihan pendapatan ASB itu berbaloi atau tidak,” menurut beliau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agihan pendapatan ASB sebanyak 5 sen seunit, bonus 0.50 sen