Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah laknat menafikan beliau mengarahkan bekas Inspektor Azilah Hadri membunuh model Monggolia, Altantuya Shaaribuu di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib  Razak hari ini menunaikan janjinya untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru di sini.

Sumpah itu bagi menafikan beliau yang mengarahkan pembunuhan model Monggolia, Altantuya Shaaribuu seperti yang dinyatakan oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dalam akuan bersumpahnya.

Dalam lafaz sumpah itu juga, bekas perdana menteri yang memakai baju Melayu putih, berseluar hitam dan bersongkok itu mengakui tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan mendiang Altantuya.

“Bismillahirrahmanirrahim. Pada hari ini 20 Disember 2019 bersamaan 23 Rabiul Akhir 1441H, di dalam rumah Allah SWT yang mulia dan pada hari Jumaat yang berkat ini, saya Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, berikrar dan bersumpah

A’uzubillahi minas syaitonirojim,. Bismillahirrahmanirrahim
Wallahi, wabillahi, watallahi. Alhamdulillah sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Shaariibuu.

“Malah saya tidak pernah berjumpa dan mengenali mendiang sama sekali.

“Jika saya berdusta, maka laknat Allah SWT atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat,” lafaz beliau selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jamek, Kampung Baru hari ini.

Turut hadir menyaksikan sumpah mubahalah itu, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; anaknya, Noryana Najwa Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Baru-baru ini, pesalah yang kini menunggu hukuman gantung, Azilah membuat pendedahan mengejutkan berhubung pembunuhan kes berprofil tinggi membabitkan Altantuya Shaariibuu.

Portal Malaysiakini mendapatkan pengakuan bersumpah dalam permohonan semakan kehakiman Azilah pada 17 Oktober lalu juga mendakwa dirinya serta anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan shoot to kill atau tembak mati.

Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya menangkap serta ‘menghapuskan’ Altantuya yang dilabel sebagai perisik asing dan berbahaya kepada keselamatan negara.

Najib yang tiba di masjid itu pada jam 12.58 tengah hari disambut laungan takbir “Allahu Akbar” oleh orang ramai yang datang untuk menyaksikan beliau melafazkan sumpah laknat.

Puluhan media menunggu beliau sejak jam 12 tengah hari untuk merakam detik itu.

Solat Jumaat selesai jam 1.50 tengah hari dan imam masjid, Muhammad Syahid Jamil mengumumkan solat hajat sebelum menyatakan kepada jemaah bahawa Najib akan menyampaikan sesuatu.

Kemudian acara diambilalih oleh penceramah agama terkenal, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderuddin yang menyampaikan mukadimah mengenai kesan dari sumpah laknat ke atas seseorang yang melafazkan dan individu yang memfitnah.

Terdahulu, Najib memberitahu kepada kira-kira 700 jemaah yang hendak menyaksikan sumpah itu bahawa ini kali ketiga beliau melafazkannya.

“Saya pernah lafaz sumpah kali pertama di Ijok, Selangor pada pilihan raya kecil (PRK) tahun 2007 dan kali kedua tahun 2008 di Masjid Gual Perahu, Permatang Pauh, juga waktu PRK.

“Kali ini kemuncak kepada segala sumpah dan saya tahu implikasi sumpah ini, saya tahu pengertiannya kerana kebenaran.. Saya takut pada Allah sahaja,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakannya untuk berbuat demikian kerana akuan sumpah Azilah kerana dua sebab selain telah menjadi bahan lawak dan ketawa dalam media sosial mengenai akuan sumpah itu (SD).

“Pertama, saya baca SD itu, kononnya saya beri upah RM300 untuk Azilah melakukan pembunuhan. Kedua, kononnya Altantuya seorang perisik kerajan Rusia. Ini kali pertama dalam dunia seorang perisik membuat laporan polis.

“Semua ini menjadi hebahan lawak dalam media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apakah musibah yg sedang menimpa skrg ini sebagai peringatan, keampunan atau bala dr Allah?
    Ustaz walaupun berada disisi atas dasar politik kena bgtau syarat dan matlamat bersumpah dan jenis sumpah yg patut dilafazkan. Jgn sepi je.
    Jgn biarkan umat melarat dgn kekeliruan.

Comments are closed.