bekas Kapten kembali ke Arsenal sebagai pengurus baharu the Gunners secara rasmi hari ini.

LONDON – Arsenal akhirnya secara rasmi melantik bekas kapten pasukan, Mikel Arteta sebagau Pengurus the Gunners pada Jumaat.

Legenda Arsenal yang telah berkhidmat sebagai jurulatih dan pembantu Pengurus Manchester City Pep Guardiola di Etihad telah menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah.

Arteta, 37, pernah menjulang Piala FA berganda dalam lima tahun bersama the Gunners dan dilantik mengisi kekosongan yang ditinggalkan Unai Emery.

Unai Emery dipecat November lalu ekoran prestasi hambar the Gunners tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan awal musim ini.

Arteta berkhidmat di bawah Pep selepas bersara di Emirates pada 2016.

“Kita perlu bersaing untuk gelaran utama setiap aksi selepas ini.

“Saya sudah jelaskan pendirian semasa rundingan dengan pemilik kelab Stan dan Josh Kroenke di kelab ini.,” katanya.

Arteta akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai boss Gunners Ahad ini.

Sementara itu, pengurus sementara, Freddie Ljungberg akan meneruskan tugasnya menjelang aksi menentang Everton malam ini.

Ketika ini dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal menduduki tempat ke10 dengan 22 mata, ketinggalan 7 mata dari Chelsea yang menduduki tempat keempat.

“Kita semua sedia maklum bahawa terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kembali ke landasan kejayaan tapi saya yakin boleh melakukannya perubahan itu.

“Saya sangat realistik dan faham perubahan tidak boleh berlaku dalam satu malam. tetapi skuad semasa mempunyai ramai pemain berbakat dan pemain muda dari akademi kelab.

“Ini satu perkembangan yang baik untuk kelab untuk menyusun strategi baharu supaya kembali merekodkan kemenangan setiap perlawanan selepas ini,” katanya.

Pengarah bola sepak Arsenal, Raul Sanllehi berkata kelabnya menemui beberapa calon berkelas tinggi sebelum memilih Arteta sebagai pengganti Emery.

Pasukan kejurulatihan Arteta belum lagi diumumkan Arsenal.-MalaysiaGazette