Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berucap pada Pertandingan Bola Sepak Piala Yb Zuraida Kamaruddin di Padang Bola Sepak Tasek Tambahan, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2019

AMPANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas syarikat Kredit Komuniti sekiranya didapati mengenakan kadar faedah lebih tinggi kepada peminjam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, syarikat pemberi pinjaman wang di bawah KPKT itu hanya boleh mengenakan kadar faedah tidak lebih 12 peratus dengan cagaran dan 18 peratus dengan cagaran.

“Kalau betul, ada aduan, ada laporan, kita akan ambil tindakan, tak jadi masalah kalau betul.

“Setakat ini memang tidak ada laporan, tapi tak tahu kebelakangan ini mungkin ada.

“Bila saya jawab di Parlimen belum ada kes begitu, kalau ada kita harus bertindak dan KPKT akan ambil tindakan dan kita ada unit polis kita sendiri,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sebelum ini, syarikat pemberi pinjaman wang berlesen di bawah KPKT itu dijenamakan semula sebagai Kredit Komuniti mulai April lalu.

Dalam pada itu, Zuraida akan menyemak balik tempoh tiga bulan yang dikenakan kepada syarikat kewangan itu menukar nama baharu dan logo baharu tanpa menunggu lesen perkhidmatan tamat.

“Saya teliti balik, menjelang 2020 sama ada lesen mereka belum diperbaharui atau sebagainya mereka kena terus pasang papan tanda yang baharu.

“Tidak lagi berdasarkan kepada lesen yang telah diperbaharui, jadi yang lambat itu kena tunggu masa dia tamat tempoh lesen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.