Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) menasihati Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar jangan ‘bermain api’ dengan sikap anti nasional dengan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada bulan ini.

Presidennya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata,  pihaknya akan mengembleng tenaga dengan pelbagai gabungan lain dalam memastikan Dong Zong memadamkan terus hasrat anti nasional mereka itu pada 28 Disember nanti.

“AGRA juga di sini ingin mencadangkan suatu program pertukaran pemastautin antara masyarakat Uyghur dan pendokong fahaman Dong Zong yang nyata tiada semangat nasionalisme kepada Malaysia atas segenap tindak-tanduk mereka.

“Mungkin di Xinjiang lebih mudah Dong Zong mampu menjalankan agenda mereka sewenangnya ditambah jika kiblat Dong Zong adalah kepada China mahupun Taiwan,” katanya dalam kenyataan.

Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah penerapan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek teras iaitu Bahasa Melayu sekolah vernakular.

Pertubuhan berkenaan bagaimanapun dilaporkan mengalakkan supaya pengenalan tulisan Jawi dijalankan dalam bentuk aktiviti kokurikulum.

Menurut Mohd Ashraf, kerajaan Malaysia telah memutuskan implementasi pengenalan Khat tersebut, malah AGRA telah meneliti tiga muka surat yang mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bertolak-ansur mengenai pelaksanaan pengenalannya dari enam muka surat kepada tiga  muka surat.

Tambah daripada tiga muka surat tersebut, AGRA sepakat bahawa apa yang ingin diajarkan itu sebenarnya tidak cukup, malah hakikatnya perlu ditambah lagi.

“Namun apa yang AGRA tampak ialah dari apa yang ingin dididik semai dan disampaikan melalui silibus KPM, sebenarnya mempunyai nilai patriotisme dan nasionalisme dalam pada menekankan keilmuan tentang Tulisan Jawi sebagai pengenalan melalui elemen-elemen yang ada dalam jata dan simbol-simbol negara, seperti tulisan jawi yang terdapat pada mata wang ringgit sebagai contoh,” katanya.

Oleh itu, kata Mohd Ashraf, apa yang ingin dilakukan Dong Zong dengan mengadakan himpunan masih menunjukkan sikap penentangan mereka terhadap isu Khat merupakan satu perbuatan khianat ke atas negara.

Malah katanya, ia bercanggah dengan Akta 32: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pada Artikel 9 yang secara jelas menyatakan “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi,  dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Pada 6 Ogos lalu, AGRA mengepalai gerakan membantah tindakan Dong Zong apabila lebih 90 NGO seluruh Malaysia menyerahkan memorandum supaya persatuan itu menghormati tulisan Jawi sebagai warisan pusaka.

Pada hari tersebut AGRA mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak akan teragak untuk menambah tekanan sekirannya Dong Zong dan mana-mana pertubuhan yang sealiran terus mempertikai dan membantah pengenalan tulisan Jawi. – MalaysiaGazette