Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar mewujudkan dan menguatkuasakan peraturan bagi melarang apa-apa majlis berkaitan sumpah laknat diadakan di masjid bagi mengelak institusi itu dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Penegasan itu dibuat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila memberitahu, pihaknya akan menerbitkan satu Bayan Linnas Khas dengan tajuk Mubahalah:Fiqh dan Isunya, dalam masa terdekat untuk mengupas tentang perkara tersebut.

“Pada masa kini, telah wujudnya mahkamah untuk penyelesaian isu perundangan.

“Justeru, kami berpendapat bahawa mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah jika diperlukan,” katanya menerusi kenyataan di Twitter hari ini.

Zulkifli dipercayai mengulas mengenai tindakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat lalu sebagai menafikan pembabitannya dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Tindakan Najib itu mendapat reaksi, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi apabila menyifatkan tindakan Najib itu memperlihatkan sikap terdesak dan gopoh beliau dalam berdepan isu berkenaan.

Katanya, kerana keghairahannya mahu ‘menyucikan dirinya, Najib sanggup mengenepikan peraturan dan larangan dengan menjadikan rumah Allah untuk tujuan politik sempit dan kepentingan peribadi.

Dalam pada itu Zulkifli turut membuat pencerahan bahawa sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali dalam bab li’an.

Bagaimanapun katanya, Mubahalah dalam Surah Ali Imran di dalam al-Quran tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya ia dikategorikan dalam bab sumpah dalam perdebatan bagi menyokong hujah yang dibenar dan menolak hujah palsu.

Tambah beliau, Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah, bahkan proses keadilan di mahkamah tidak eksklusif pada sumpah sahaja.

Katanya lagi, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya daimabil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim. – MalaysiaGazette

Kesal masjid jadi agenda peribadi pemimpin politik