A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Siapa Johari berbanding Daim?

Itu tanya Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk A. Kadir Jasin terhadap bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengkritik bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini.

“Saya hendak tanya, siapakah Johari berbanding Daim, Robert Kuok Hock Nien, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Profesor Jomo Kwame Sundaram?

“Saya tidak ada masalah dengan mana-mana pakar dan pengurus turn around (atau yang mengaku pakar) mempamerkan kehebatan mereka tetapi janganlah perkecilkan kepakaran dan sumbangan orang lain, terutamanya yang berkhidmat secara sukarela.

“Saya tidak sekat sesiapa pun mencari nama dan komisen. Cuma tolong beringat-ingat bahawa kerana tamak haloba commission agents inilah maka hari ini negara dan rakyat jelata terbeban dengan skandal 1MDB, SRC International, Felda/FGV, Tabung Haji dan banyak lagi.

“Maaflah kalau saya kata, saya terbaca nama Johari yang disebut senada dengan Najib dalam laporan audit mengenai paksaan ke atas Felda supaya membeli saham Eagle High Plantations milik Peter Sondakh dengan harga berganda lebih tinggi daripada harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kadir, beliau tidak gembira menulis tentang Johari kerana saya mengenalinya sudah lama dalam kapasitinya sebagai backroom boy kepada beberapa orang kenalan dunia korporat, sama ada masih hidup atau telah mati, khususnya dari kumpulan KFC.

“Tetapi apabila beliau mengkritik kerajaan secara terbuka saya terpaksa membalasnya,” katanya yang juga Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri.

Terdahulu, Kadir mendedahkan Johari dipercayai terlibat dengan beberapa urusan dan percubaan pengambilalihan korporat yang melibatkan syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.

“Maklumat yang saya peroleh menjurus ke arah meletakkan Johari sebagai pemain belakang tabir yang penting dalam beberapa urusan besar korporat,” katanya.

Antaranya, penjualan saham UMNO dalam Media Prima Berhad, rombakan aset melibatkan Felda dan FGV, tawaran “membeli” UEM Sunrise Berhad dan penyusuan semula pemilikan sebuah hotel mewah di Langkawi.

“Dia (Johari) dikatakan mempunyai peranan besar dalam penyusunan semula perniagaan Media Prima di mana dia bertindak sebagai pakar pemulihan (turnaround expert).

“Beberapa orang wartawan media Prima mengesahkan bahawa ada di kalangan mereka telah dipanggil berbincang dengan Johari mengenai masa depan dan hala tuju kumpulan itu termasuklah pengecilan bilangan kakitangan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Prestasi ekonomi merudum tapi urus tadbir PH baik