Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai yang merancang untuk meninggalkan kediaman masing-masing sempena cuti Krismas dan cuti akhir tahun untuk mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang praktikal dan bijak tenaga.

Syarikat utiliti itu meminta para pengguna memastikan peralatan elektrik di rumah berada dalam keadaan baik dan selamat sepanjang percutian.

Pengguna diminta menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir;

Mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari (untuk keselamatan / mengelakkan kecurian) dan memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.

Selain itu, memastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik dan membuka gulungan wayar sambungan tambahan sepenuhnya untuk mengelakkannya menjadi terlalu panas jika digunakan.

Pengguna turut diminta enguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB), sebaik-baiknya, ia dilakukan sebulan sekali.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette