Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan didakwa bukan sahaja gagal mewujudkan peluang pekerjaan, malah gagal mengekalkan pekerjaan sedia ada kerana kegagalan mengurus ekonomi negara.

Keadaan peluang pekerjaan di negara semakin tenat apabila kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sebanyak 5% sehingga tahun 2021.

Pengumuman malang ini semestinya menghancurkan harapan rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU-14 lalu, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia.

Shahir Adnan berkata, jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam hingga suku ketiga 2019 adalah sebanyak 1.7 juta dengan merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Daripada jumlah tersebut, 62 peratus merupakan perjawatan sektor kesihatan, pendidikan, tentera dan polis serta selebihnya 38 peratus dari lain-lain sektor seperti pentadbiran, perkhidmatan sosial, kejuruteraan, kewangan, ekonomi, sains, pengangkutan, seni, kemahiran, perundangan, dan kehakiman.

“Persoalannya di sini, bagaimanakah pengurangan sebanyak 5% atau 85,000 pekerjaan sektor awam ini dapat menguatkan ekonomi negara apabila peluang pekerjaan di sektor swasta pun makin berkurang?

“Rakyat tidak mempunyai pilihan di sektor swasta atau perkhidmatan awam dan pengangguran di dalam negara akan meningkat dengan mendadak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, bertambah malang apabila Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling memansuhkan elaun-elaun penjawat awam, terutama elaun kritikal (RM 750) kepada pekerja baru dalam sektor kesihatan.

Beliau mempersoalkan tindakan yang dibuat itu ketika Kementerian Kesihatan sendiri mengunjurkan bilangan pesakit akan bertambah empat kali ganda daripada 17 juta kepada 77 juta.

Sedangkan bilangan doktor dan kemudahan tetap sama.

“Bertambah malang apabila beberapa minggu lepas, kerajaan mengumumkan bahawa caj servis perkhidmatan doktor swasta akan ditentukan sendiri oleh hospital swasta tanpa mengikut had yang dikenakan sebelum ini.

“DPIM menjangkakan ramai anak muda dan doktor berpengalaman akan beralih arah ke pusat perubatan swasta. Pada masa yang sama, hospital kerajaan akan kekurangan doktor dan pertambahan pesakit,” ujarnya.

Shahir berkata, yang menderita nanti adalah rakyat dan golongan B40 seakan-akan ditindas kerana tidak mendapat perkhidmatan terbaik oleh doktor terbaik di hospital kerajaan.

Pesakit pula tidak akan ke hospital swasta kerana kos yang tinggi kerana tidak dipantau oleh kerajaan, yang akhirnya ya, kesihatan rakyat dan institusi kesihatan negara akan lumpuh. – MalaysiaGazette