Temubual Malaysia Gazette bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Group Berhad, Datuk Feizal Mustapha di Pejabat Widad Business Group, Jalan Semantan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Widad Group Berhad (WGB) menjangkakan perniagaan pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) akan kekal menjadi penyumbang terbesar dalam pertumbuhan syarikat itu pada masa depan meskipun cabang pembinaan menyumbang perolehan yang setara.

Bagi suku ketiga 2019 yang berakhir 30 September lalu, IFM menyumbang sebanyak 60% keuntungan berbanding 40% untuk pembinaan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Feizal Mustapha berkata, pada masa ini, perniagaan pembinaannya terlibat dalam kerja-kerja sivil, projek sistem perparitan di Pulau Pinang dan penyelenggaran jalan raya di Klang.

Untuk IFM pula adalah pemegang konsesi kontrak dengan Kompleks Istana Negara sehingga tahun 2022.

“Bisnes pembinaan dan IFM adalah kombinasi yang baik meskipun kami mahu meluaskan perniagaan IFM pada masa depan,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menurut beliau, pada 4 Mei 2019, WBG telah memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk membangunkan fasiliti, infrastruktur berserta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kampus UiTM Seremban 3 di Negeri Sembilan.

Manakala pada Oktober lalu telah menguasai 90 peratus kepentingan di dalam Serendah Heights Sdn. Bhd., pada nilai RM95.89 juta.

Serendah Heights memiliki 100 peratus saham di dalam YBK Usahasama Sdn. Bhd., yang memiliki konsesi untuk membangun infrastruktur dan fasiliti serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kampus UiTM Jasin, Melaka.

Feizal berkata, dengan pengambilalihan ini, WBG memiliki tempahan kerja hampir bernilai kira-kira RM3 bilion termasuk perniagaan IFM di dua UiTM masing-masing bernilai RM860 juta dengan tempoh konsesi selama 14 tahun.

WBG juga mempunyai kontrak dalam bidang pendidikan melalui Kolej Universiti Widad, anak syarikatnya, Datapreps Holding Berhad dan Royal Widad Residence@UTMKL.

Selain IFM, beliau yakin dengan pertumbuhan syarikat itu pada masa depan dengan meluaskan cabang perniagaan khususnya dalam pengurusan bahan buangan yang bakal menjana sumber masa depan.

Baru-baru ini WBG dianugerahkan projek bernilai RM120 juta bagi pembinaan stesen pindahan sisa pepejal baharu di Kepong

WBG melalui subsidari milik penuhnya Widad Builders Sdn Bhd (WBSB) dilantik sebagai sub kontraktor untuk rekaan dan pembinaan stesen pindahan sisa pepejal yang baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong dengan tempoh kontrak sehingga April 2025.

Tambahnya, WBG juga telah membuka syarikat pengurusan rel untuk merebut potensi dalam sektor tersebut terutama dalam pembinaan dan penjajaran trek.

“Kita percaya perniagaan pengurusan sisa pepejal dan rel itu nanti akan saling melengkapi cabang IFM,” ujarnya yang optimis bahawa dengan perniagaan IFM pada masa depan.

Jelas beliau, pasaran IFM adalah terlalu besar kerana semakin banyak pemilik bangunan menyedari betapa penting IFM.

Manakala sektor pembinaan pula cukup kompetitif dan marginnya semakin mengecil.

“WBG percaya dengan mengekalkan pertumbuhan dalam IFM, akan memberi nilai tambah kepada pemegang saham.

“Malah, kita sedang memikirkan untuk berkongsi manfaat kepada mereka, sama ada dengan mempertimbangkan dividen atau tawaran saham kepada pemegang kepentingan syarikat termasuk kakitangan syarikat,” menurutnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.