Syed Mohammad Faiz Azemmant

KUALA LUMPUR – Kempen Buy Muslim First (BMF) perlukan komitmen dan penglibatan secara total umat Islam bagi menjayakannya, kata Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant.

Ini kerana, kata beliau, nasib dan kejayaan orang Melayu serta umat Islam terletak sepenuhnya di tangan kaum itu sendiri.

Katanya, kempen BMF adalah usaha murni dan terbaik bagi meningkatkan penguasaan orang Melayu dan Islam dalam bidang ekonomi yang ketika ini diibaratkan seperti melukut di tepi gantang.

“Sebagai usaha menjayakan kempen itu, NGO kami mencadangkan semua masjid di negara ini membuka kedai runcit 24 jam untuk menjual produk muslim sepenuhnya.

“Mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga 24 Disember lalu, terdapat 6,368 masjid di seluruh negara dan jika semua masjid membuka kedai 24 jam menjual produk muslim, usaha menjayakan kempen itu pasti berjaya.

“Itu belum lagi melibatkan surau yang mana mengikut statitik Jakim terdapat sebanyak 18,308 surau di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, masjid boleh memulakan terlebih dahulu usaha itu, sebelum diperluaskan di semua surau seluruh negara. – MalaysiaGazette