KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Displin UMNO serta-merta.

Pengumuman yang dibuat hari ini berikutan langkah pucuk pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan antara Lembaga Displin dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Astro Awani melaporkan, maklumat yang diterima menerusi sistem pesanan daripada bekas peguam negara itu adalah pembatalan terhadap perkara berkenaan adalah sesuatu yang tidak bertepatan dengan Perlembagaan Parti.

“Hasil perkembangan ini, saya telah arahkan Setiausaha Lembaga Displin untuk menyediakan surat perletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan berkuatkuasa dengan serta-merta.

“Saya tidak rela dijadikan sebagai kuda tunggangan. Maruah saya lebih penting daripada jawatan,” katanya seperti dilaporkan.

Sebelum ini media melaporkan, Hishammuddin sepatutnya dipanggil mengadap Lembaga Displin hari ini bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam sebelum ini telah memfailkan surat rasmi kepada Lembaga Displin bagi menyiasat dakwaan bahawa Ahli Parlimen Sembrong itu cuba menjadi ‘orang tengah’ dengan membawa masuk beberapa pemimpin UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohamed Apandi berkata, beliau amat kecewa kerana sesi itu telah dibatalkan atas arahan pucuk pimpinan parti.

Arahan itu, katanya, jelas melanggar keluhuran dan kebebasan Lembaga Displin seperti yang termaktub di bawah perlembagaan parti.

“Memang prosiding show cause akan dipengerusikan oleh anggota Lembaga yang lain.Yang saya amat kecewa ialah, ia dibatalkan atas arah pucuk pimpinan parti. Ini tiada peruntukan dalam Perlembagaan Umno.

“Lembaga Disiplin adalah suatu badan bebas yang tidak tertakluk kepada apa-apa arahan pimpinan parti.

“Tindakan membatalkan prosiding itu adalah tidak berpelembagaan. Ia tidak sah di sisi undang-undang. Sebagai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan bekas Peguam Negara, ia adalah tanggungjawab saya untuk menegakkan perlembagaan dan undang-undang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Tindakan yg tepat. Arahan Presiden yg amat mengelirukan. Inilah nasib UMNO. Inilah kesilapan penyokong Presiden utk kembali menguruskan UMNO setelah dicutikan. Tiada bijaksana dan sgt lemah utk terus menerajui UMNO. Sebab tu TOK MAT lebih dilihat berwibawa bagi mengemudikan UMNO. Fikirlah wahai ahli UMNO…….

  2. Sedarlah wahai pemimpin2 umno, selagi umno dipimpin oleh pemimpin yg ada sekarang ini, umno xkan berubah.

  3. Selagi umno diketuai oleh pemimpin yg ada sekarani ini, umno tak kan berubah.
    Bersedialah untuk kekalahan kali 2 dlm pru 15

Comments are closed.