KUALA LUMPUR – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) mengeluarkan Garis Panduan Kompilasi Disemak Semula mengenai Petunjuk Kewangan Islam Berhemat dan Berstruktur (PSIFI) 2019 untuk bergerak seiring dengan kemajuan terkini kawal selia tempatan dan global.

Dokumen menyeluruh itu termasuklah garis panduan mengenai pengumpulan, penyusunan dan penyebaran PSIFI bagi perbankan, pasaran modal dan institusi takaful yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam, antara lainnya.

Ia juga berfungsi sebagai panduan bagi menstandardkan metodologi penyusunan dan penyebaran data dalam kalangan institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.

IFSB dalam satu kenyataan hari ini berkata objektif utama PSIFI termasuklah bagi memudahkan pemantauan dan analisis kekuatan dan kestabilan industri perkhidmatan kewangan Islam menerusi petunjuk kekuatan kewangan berstruktur dan berhemat.

Selain itu ia juga bertujuan untuk menyokong dan menyelaras perumusan, pembangunan dan pengukuhan standard antarabangsa yang sewajarnya oleh IFSB di samping meningkatkan ketelusan dan perbandingan antarabangsa industri domestik untuk memudahkan penyepaduannya ke dalam sistem kewangan antarabangsa.

Garis panduan itu boleh dimuat turun daripada laman web IFSB di www.ifsb.org. – MalaysiaGazette