Fasa pertama Program Sarapan Pagi melibatkan 100 buah sekolah.

KUALA LUMPUR – Fasa pertama Program Sarapan Pagi (PSP) akan melibatkan 100 buah sekolah dan 37,000 murid di seluruh negara bermula 20 Januari ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, 100 buah sekolah yang dipilih itu mempunyai peratusan tinggi golongan B40 di setiap negeri dan yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (SMT) sebelum ini.

Katanya lagi, PSP yang turut dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) itu melibatkan kos RM22 juta.

“Pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ā€˜nā€™ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara jam 7.00 hingga 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan jam 1.00 hingga 4.00 petang bagi persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan sekolah,” kata kenyataan itu.

Mennurut kementerian, kebenaran daripada ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklum balas tentang alahan sekiranya ada dalam menu yang ditetapkan demi mencari alternatif.

KPM dalam masa yang sama turut mengambil pandangan daripada Pegawai Sains Pemakanan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai menu yang bersesuaian dengan nutrisi pelajar.

“PSP di sekolah rendah merupakan inisiatif terbaharu KPM untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Pemantauan juga akan dibuat demi memastikan makanan yang diagihkan menerusi program ini berkualiti dan untuk tujuan penambahbaikan dilakukan.

Pada masa akan datang, KPM merancang supaya program ini diperluaskan kepada 7,776 sekolah rendah dengan memanfaatkan lebih kurang 2.7 juta murid di seluruh negara, namun ia bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah.- MalaysiaGazette