Benjamin Netanyahu. foto Agensi

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa ‘menang besar’ dalam undian yang mencabar kepimpinannya dalam parti Likud.

Kira-kira 49 peratus daripada 116,000 ahli yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing semalam.

Pencabar, Gideon Saar yang menyerah kalah berkata, beliau akan menyokong Netanyahu pada pilihan raya umum pada Mac depan, lapor BBC.

Undian dalaman parti dilihat sebagai satu ujian kepada Netanyahu yang memegang tampuk kuasa ketika keadaan sukar.

Netanyahu, 70, yang berdepan perbicaraan dan dakwaan rasuah turut berhadapan pilihan raya umum ketiga dalam tempoh setahun.

Pada pilihan raya yang diadakan pada April dan September lalu menyaksikan Likud menemui jalan buntu dengan parti Blue and White, dengan kedua-dua pihak tidak dapat membentuk kerajaan.

Selepas undian ditutup pada pukul 11 malam waktu tempatan semalam, menerusi akaun twitter, Netanyahu mendakwa bahawa beliau telah memenanginya walaupun keputusan dijangka diketahui awal Jumaat.

“Dengan pertolongan tuhan dan anda, saya akan menerajui Likud untuk mencapai kemenangan besar pada pilihan raya akan datang dan terus menerajui Israel untuk mencatatkan pencapaian yang belum pernah terjadi,” katanya.

“Saya berpuas hati dengan keputusan yang saya ambil. Mereka yang tidak sedia untuk mengambil risiko terhadap apa yang mereka percayai tidak akan berjaya,” tulis Saar.

“Rakan saya dan saya akan berdiri di belakangnya (Netanyahu) berkempen untuk kejayaan Likud pada pilihan raya umum,” tambah beliau.

Saar mahu membawa Likud kepada laluan baharu.

Semalam, dengan laporan menunjukkan jumlah pengundi menunaikan tanggungjawab yang rendah berikutan keadaan cuaca yang tidak baik, Netanyahu menerusi laman Facebook yang disiarkan secara langsung merayu ahli parti keluar mengundi.

Netanyahu telah dijangka akan memenangi pemilihan tersebut dengan selesa namun beliau tetap berkempen tanpa mengenal penat kerana mahukan keputusan yang menunjukkan beliau kekal kukuh dalam parti, kata wartawan BBC, Barbara Plett Usher di Baitulmaqdis.

Netanyahu yang merupakan pemimpin Israel paling lama memegang tampuk pemerintahan menghadapi siasatan selepas berhadapan tiga kes rasuah pada bulan lalu.

Beliau menafikan telah melakukan salah laku dan mendakwa tuduhan tersebut bermotifkan politik. – Agensi