KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali masih kekal sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO selagi ibu pejabat parti tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan darinya.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sempat menghubungi bekas Peguam Negara itu dan mengesahkannya sedang bercuti di luar negara.

“Ibu pejabat UMNO ambil maklum dan pandang serius polemik peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti seperti yang dilaporkan media pada 26 dan 27 Disember lalu.

“Sehingga kini tiada sebarang surat peletakan jawatan diterima oleh ibu pejabat parti. Oleh itu, Mohamed Apandi masih Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Annuar, beliau telah diberi sedikit gambaran mengenai apa yang telah berlaku dan bersetuju perkara itu perlu dibincang secara tertib apabila Mohamed Apandi pulang dari bercuti.

“Terdapat beberapa kekeliruan berkaitan perkara yang dibangkitkan dan masalah itu boleh dibincangkan apabila beliau sendiri berada di Kuala Lumpur.

“Adalah ditegaskan Jawatankuasa Disiplin adalah sebuah jawatankuasa yang dibentuk berdasarkan perlembagaan parti dan bebas. Ia kekal sedemikian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan Lembaga Disiplin akan dimurnikan apabila jawatankuasa tersebut bermesyuarat secara bebas dan dipengerusikan sendiri oleh Mohamed Apandi nanti.

Adalah ditegaskan, tidak benar wujud campur tangan dalam proses atau prosiding Jawatankuasa Disiplin.

Katanya, jawatankuasa itu kekal bebas membuat siasatan dan melaporkannya kepada Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO.

“Saya harap semua pihak dapat menghormati kedudukan jawatankuasa ini dan apa yang termaktub dalam perlembagaan parti,” ujarnya.

Khamis lalu, media melaporkan Mohamed Apandi membuat keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Displin UMNO serta-merta.

Pengumuman yang dibuat itu berikutan langkah pucuk pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan antara Lembaga Displin dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast