Pelancong dari Tanah Besar China bergambar di Dataran Merdeka. - foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Langkah pengecualian visa 15 hari kepada pelancong China dan India mulai 1 Jan akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam persaingan menarik pelancong kalangan negara serantau.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata setiap tahun ramai rakyat kedua-dua negara itu berkunjung ke luar negara, dan inisiatif pengecualian visa berkenaan akan membantu meningkatkan jumlah kedatangan mereka ke Malaysia.

“Sebagai contoh, 150 juta warga China mempunyai pasport antarabangsa yang melancong setiap tahun. Kami nak tarik lebih banyak pelancong sebagaimana Thailand misalnya yang menerima 10 juta pelancong China tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Berikutan pengenalan pengecualian visa itu, Uzaidi menganggarkan empat juta pelancong China dan dua juta dari India akan berkunjung ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020).

Langkah pengecualian visa selama setahun yang diperkenalkan kerajaan itu terhad kepada tempoh lawatan 15 hari, tanpa sebarang lanjutan.

Pelancong berkenaan juga perlu pulang ke negara asal dan menunggu 45 hari sebelum layak memohon semula kemudahan pengecualian visa tersebut.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang menyifatkan pelanjutan kemasukan visa percuma bagi pelancong China dan India sebagai pencetus perubahan dalam meningkatkan sektor pelancongan Malaysia kerana memudahkan perjalanan ke negara ini.

“Pengumuman mengenai pelanjutan visa kepada kedua-dua negara paling ramai di dunia ini akan menambah dorongan kepada permulaan VMY 2020,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata langkah itu perlu dilanjutkan selepas 2020 dan visa itu sah bagi tempoh yang lama.

Beliau menambah pengecualian visa bagi pelancong China dan India akan membantu merancakkan ekonomi negara.

Malaysia menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan bernilai RM100 bilion pada tahun 2020.

— BERNAMA