Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Para pengguna dinasihati supaya menjadi pengguna yang bijak, khususunya dalam pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak yang pengunaannya diwajibkan mulai 1 Januari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, penjualan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (Child Restraint Seat – CRS), khususnya pada  harga murah atas talian telah menimbulkan kerisauan kepada ramai pengguna tentang aspek keselamatannya.

Katanya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Malaysia Institute of Road Safety – MIROS) telah mengeluarkan Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia pada 23 Oktober 2019.

“Penglibatan KPDNHEP secara umumnya dalam pelaksanaan garis panduan ini adalah lebih menjurus kepada penguatkuasaan berkaitan aspek representasi palsu atau mengelirukan dari segi perihal standard keselamatan produk, kelulusan pihak berwibawa, ciri-ciri pencapaian, penggunaan serta cap dagangan palsu dan sebagainya dalam aktiviti penjualan atau pengiklanan dalam menawarkan produk kerusi keselamatan kanak-kanak ini oleh peniaga/industri.

“Pada ketika ini tidak ada peruntukan perundangan yang khusus di bawah bidang kuasa Akta-Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP berkenaan dengan standard keselamatan penjualan produk CRS dalam pasaran.

“Walau bagaimanapun, kementerian boleh menggunakan beberapa peruntukan melalui perundangan yang sedang berkuatkuasa sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak dalam aktiviti penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak ini sama ada di premis perniagaan atau secara dalam talian (online) bagi memastikan keselamatan pengguna dilindungi,” katanya dalam kenyataa.

Antaranyanya, Seksyen 10(1)(h) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan  Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kedua-dua Akta ini boleh dipertimbangkan untuk diperhalusi kesesuaiannya untuk diadakan peraturan bagi mengawal selia penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam pasaran memandangkan penggunaannya bakal dikuatkuasakan.

“Perintah ini boleh melibatkan larangan kepada CRS yang tidak mematuhi spesifikasi standard yang ditetapkan daripada dijual di premis perniagaan dan tindakan diambil terhadap peniaga yang menjual CRS yang tidak mematuhi standard,” katanya.

Pada masa yang sama, kementerian itu menyatakan bahawa peranan pengguna penting dalam membuat perbandingan dan merujuk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak MIROS sebelum membuat sebarang pembelian.

“Para pengguna perlu bertindak bijak dengan menyemak pematuhan standard CRS seperti pelabelan UN R44 dan R129 pada produk yang ditawarkan, seperti mana dinyatakan melalui Garis Panduan tersebut kerana aspek keselamatan kanak-kanak tidak wajar dikompromi sama sekali,” katanya.- MalaysiaGazette