Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan diiringi Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Summit Kuala Lumpur 2019, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Summit Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019 membuktikan kepada dunia Islam lain bahawa rakyat Malaysia mampu hidup bersama dengan penganut agama lain tanpa konflik.

Katanya, perkara itu diperlihatkan lagi dengan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dapat bersama secara aman dan damai.

“Tidak pernah terlintas di pemikiran kita untuk memperkenal undang-undang mengasing rakyat atau pendatang berasaskan agama atau bangsa.

“Walaupun kita mempunyai beberapa peruntukan untuk kaum bumiputera, ianya untuk memastikan kelangsungan mereka dan bukan bersifat menidak dan mengambil hak
rakyat yang lain,” katanya dalam perutusan tahun baharu hari ini.

KL Summit yang berakhir 21 Disember lalu dihadiri Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Tambah Dr Mahathir, disebabkan keamanan yang dikecapi bersama, , sumber kekayaan juga turut dirasai oleh pelbagai kaum di negara ini.

“Kerana itu kita dapati kekayaan negara tidak dipegang oleh Bumiputera semata-mata malahan di kongsi dan dalam banyak keadaan dipegang oleh kaum yang lain.

“Perkara ini agak sukar difahami oleh Negara-Negara lain di mana kaum majoriti sering memegang kuasa dan ekonomi negara,” katanya.

KL Summit juga katanya telah membuka mata kita kepada beberapa perkara.

“Saya ingin menarik perhatian kita kepada pentingnya rakyat Negara yang tercinta ini bersatu padu demi kelangsungan kemajuan negara serta membina kekuatan bangsa.

“Kita lihat bagaimana beberapa negara yang turut serta dalam KL Summit ini yang menghadapi pelbagai sekatan. Bukan sahaja mereka berjaya mengatasi keadaan ini, tetapi mereka juga telah berjaya memajukan negara mereka,” katanya lagi. -MalaysiaGazette