Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud hadir pada Operasi Bersepadu Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia yang menahan pendatang asing tanpa izin sempena berakhirnya program Back For Good di Pusat Komersial Setia Walk, Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 01 JANUARI 2020.

PUCHONG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menyerbu lima kediaman dan sembilan pejabat yang digunakan sebagai pusat kegiatan penipuan atas talian.

Menerusi Operasi Bersepadu yang bermula 11 pagi tadi, seramai 87 warganegara China (79 lelaki manakala 8 perempuan) tanpa dokumen perjalanan ditahan.

Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 36 tahun didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen Malaysia.

Turut dirampas ketika serbuan adalah enam unit  komputer peribadi dan 203 telefon bimbit.

“Semasa ditahan mereka disyaki menjalankan kegiatan pelaburan atas talian  berdasarkan pada skrin komputer peribadi yang memaparkan skim-skim pelaburan sama ada Forex, atau Cryptocurrency dan termasuk juga perjudian,” kata Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud kepada pemberita selepas serbuan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud hadir pada Operasi Bersepadu Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia yang menahan pendatang asing tanpa izin sempen berakhirnya program Back For Good di Pusat Komersial Setia Walk, Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 01 JANUARI 2020.

Jelas beliau lagi,  menerusi siasatan awal juga didapati kesemua yang ditangkap menggunakan permit perjalanan yang sah sebagai pelancong untuk masuk ke negara tetapi menyalahgunakan pas lawatan yang diberikan.

Tambahnya, semua premis yang diserbu  turut dijadikan pusat latihan untuk mendekati mangsa dan telah beroperasi empat bulan yang lalu.

Dalam pada itu Khairul berkata, kesemua yang ditahan akan direman 14 hari di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Menerusi serbuan yang dilakukan hari ini, kata Khairul Jabatan Imigresen Malaysia mendapati aktiviti sindiket penipuan atas talian kini mengubah modus operandi mereka dengan bergerak dalam kumpulan yang lebih kecil untuk mudah melarikan diri.

Sindiket menurut beliau, tidak lagi menyewa premis yang besar seperti sebelum ini, sebaliknya menggunakan kondominium atau pangsapuri yang dilengkapi dengan peralatan komputer peribadi dan internet.

Ketua Pengarah JIM itu juga tidak menolak ada mangsa yang berjaya ditipu menerusi kegiataan yang dilakukan mereka yang ditangkap pada hari ini.

“Mereka ini dilatih bagaimana untuk mendekati pelanggan melalui aplikasi atas talian selain itu berdasarkan skrin komputer juga menunjukkan terdapat pelanggan-pelanggan yang mengalami kerugian akibat ditipu mereka,” tambahnya.

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia melakukan pemeriksaan di sebuah premis ketika Operasi Bersepadu Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia yang menahan pendatang asing tanpa izin sempena berakhirnya program Back For Good di Pusat Komersial Setia Walk, Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 01 JANUARI 2020.

Khairul berkata, Operasi Bersepadu yang dilancarkan hari ini adalah tindakan susulan JIM selepas  tamatnya Program Back For Good (B4G) pada 31 Disember 2019 sejak dilancarkan 1 Ogos lalu.

Operasi dilakukan dengan kerjasama 160 pegawai JIM, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM). – MalaysiaGazette