Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan penangguhan pelaksanaan rancangan pengurangan harga minyak bagi golongan kurang berkemampuan dengan menyatakan terdapat keperluan untuk diperhalusi.

Beliau berkata, walaupun penangguhan itu disasarkan pada Program Subsidi Petrol (PSP) yang menyaksikannya dikritik pembangkang, harga minyak di Malaysia yang dijual RM2.08 seliter kekal antara yang terendah di dunia, lapor FMT.

Beliau berkata, harga semasa minyak mentah ialah antara AS$66 hingga AS$67 setong pada minggu lalu.

“Apabila kami mahu memulakan sasaran subsidi untuk golongan kurang berkemampuan, pembangkang tidak sukakannya.

“Kini kami perlu menangguhkannya untuk diperhalusi seterusnya dan memberi penerangan kepada golongan sasaran, tetapi ia terlalu ditentang.

“Oleh itu, saya mahu bertanya kepada pihak pembangkang, adalah anda menyokong subsidi minyak atau tidak? Atau anda menentang hanya kerana membangkang?” katanya di Batu Maung hari ini.

“Adakah mereka okay dengan harga minyak yang diapung (menurut kadar pasaran) tanpa mengambil kira kesan kepada rakyat?”.

Beliau mengulas mengenai perkara itu berikutan serangan yang dilakukan MCA terhadap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail yang mengumumkan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan PSP.

Beliau berkata, kerajaan sedang berbincang dengan pemegang taruh untuk mengkaji lebih lanjut tentang kesan harga munyak yang diapung apabila PSP dilaksanakan.

Sebelum ini, Putrajaya berkata, kira-kira lapan juta penduduk yang layak untuk program tersebut, dengan tiga juta orang merupakan kumpulan berpendapatan rendah manakala bakinya adalah kumpulan berpendapatan sederhana.

Sebanyak RM2.2 bilion subsidi dilaporkan diperuntuk untuk PSP. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sememangnya kerajaan PH ialah kerajaan U turn, penipu. kalau tak boleh kata saja tak mampu. LGE menteri kewayangan itu memang lidah biawak

Comments are closed.