Janaelektrik Sultan Ismail (SJSI) yang merupakan stesen janaelektrik kitar padu terbesar di dunia pada 1987, dirasmikan oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Ia secara rasmi menamatkan operasi pada 31 Disember 2019 lalu.

KUALA LUMPUR – Stesen janaelektrik kitar padu yang pertama di Asia Tenggara, Stesen Janaelektrik Sultan Ismail (SJSI) di Paka, Terengganu, menamatkan operasinya secara rasmi pada 31 Disember 2019 selepas 33 tahun menyalur bekalan ke Grid Nasional.

Penamatan operasi itu tidak dapat dielakkan lagi memandangkan Malaysia dalam proses untuk menggantikan stesen janaelektrik lama yang tidak efisien dengan yang lebih canggih dan mesra alam, sejajar dengan amalan industri bekalan elektrik global masa kini.

Stesen janaelektrik berkapasiti 1,400 megawatt (MW) itu siap dibina pada 1987 dan dibuka secara rasmi pada 1988 oleh Sultan Terengganu ketika itu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Ketika itu, SJSI menjadi stesen janaelektrik kitar padu yang terbesar di dunia. Kos pembinaannya adalah RM1.5bil (RM2.4bil pada kadar semasa).

“Stesen Janaelektrik Sultan Ismail meninggalkan legasi yang besar dalam sejarah TNB. Ia menjadi stesen janaelektrik kitar padu yang pertama di Asia Tenggara, dan yang terbesar dibina TNB,” kata Ketua Pegawai Penjanaan TNB, Ir. Roslan Abdul Rahman.

SJSI menjana tenaga elektrik menggunakan gas asli dan minyak, dengan gas asli sebagai bahan api utama. Sebagai pengguna awal gas asli Petronas dari loji pemprosesan di Kertih, SJSI turut membantu industri minyak dan gas di negeri itu. Bekalan gas diterima menerusi saluran paip terus dari Kertih, lantas mengurangkan kos logistik terhadap SJSI.

Sepanjang 33 perkhidmatannya, SJSI telah memberi impak kepada kehidupan ramai penduduk Paka dan sekitarnya. Ia telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu ketika pembinaannya dan seterusnya ketika beroperasi melalui aktiviti berkaitan penyelenggaraan.

SJSI turut memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui program tanggungjawab korporat. Meskipun telah menamatkan operasinya, TNB kekal komited untuk berkongsi kemakmuran menerusi pelbagai program tanggunjawab korporat seperti pemuliharaan habitat kelip-kelip di Yak Yah, Kg Ibok, Kijal; pembinaan kediaman bagi golongan kurang bernasib baik melalui projek Baiti Jannati; dan program dermasiswa My Brighter Future (MyBF) untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah B40.

Janaelektrik Sultan Ismail (SJSI) melabuhkan tirai operasinya setelah 33 tahun penuh bermakna dalam memacu bukan sahaja industri bekalan elektrik Negara, bahkan kesejahteraan penduduk negeri Terengganu.

SJSI telah diabadikan dalam bentuk setem pos yang dilancarkan Pos Malaysia pada 4 April 1988.

“Ketika perkhidmatannya, SJSI telah menghasilkan banyak tenaga kerja mahir yang mendapat manfaat daripada teknologi baru yang terdapat di stesen itu. Pengetahuan yang diperolehi di SJSI turut dimanfaatkan apabila mereka berkhidmat di stesen janaelektrik lain, termasuk di stesen janaelektrik milik penjana elektrik bebas (IPP),” tambah Roslan.

Sejumlah 250 orang warga kerja SJSI telah dihantar secara berperingkat ke stesen-stesen baharu TNB seperti Jimah East Power Sdn Bhd di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Southern Power Generation di Pasir Gudang, Johor.

Menjelang hujung perkhidmatannya, hanya unit 4 yang masih beroperasi. Unit 1, 2 dan 3 telah ditamatkan operasi sejak 2017.

Stesen janaelektrik milik TNB yang turut menggunakan teknologi kitar padu ialah Stesen Janaelektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson dengan dua blok berkapasiti 750MW dan Stesen Janaelektrik Prai di Seberang Perai, berkapasiti 1,071MW.

Selepas 33 tahun perkhidmatan, kini tiba masanya untuk SJSI memadamkan lampu. – MalaysiaGazette