Pak Zain berpengalaman dalam bidang makanan tradisional Pahang sejak 20 tahun lalu.

PUTRAJAYA – Populariti ikan patin tempoyak sememangnya tidak disangkal lagi kerana masakan dari Pahang itu mempunyai peminat tersendiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama penggemar ikan sungai.

Masakan tidak, ada ramai sanggup memandu jauh ke Pahang, terutama daerah Temerloh hanya kerana mahu menikmati keenakan gulai ikan patin yang asli gara-gara kehebatan reputasi ikan patin itu.

Namun hari ini, bagi memenuhi selera penggemar gulai tempoyak ikan patin di sekitar Lembah Klang, banyak restoran menyediakan ikan patin tempoyak itu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Cuma untuk mendapat restoran yang betul-betul memikat selera dan memenuhi kehendak pelanggan perlu membuat pilihan dengan tepat.

Salah satu yang wajib apabila seorang anak jati dari negeri berkenaan yang menyedia menu itu di Kelab Tasik Putrajaya.

Menu ikan pati tempoyak pada waktu tengahari dengan harga set jualan hanya RM30 untuk dua orang.

Pelanggan pasti menikmati gulai tempoyak ikan patin di Restoran Samudera yang baru dibuka tiga bulan lalu itu kerana aromanya memikat dan rasanya teramat sedap.

Keenakan gulai tempoyak ikan patin melekat dalam ingatan pelanggan dan sentiasa mengidam untuk mengulangi memakannya lagi.

Masih terbayang-bayang saat menikmati isi ikan patin yang lembut, empuk dan tidak berbau hanyir, manakala kuah pula pekat dengan tempoyak. Dimakan saja dengan nasi putih panas, memang boleh licin pinggan.

Menurut pemiliknya, Datuk Mohamed Zain Abdul Malik, beliau sebelum ini memiliki restoran ikan patin di Rest House Kuantan dan kini mengembangkan pasarannya di Lembah Klang dengan restoran ala kampung di D’Patin House di Putrajaya, selain satu kios di Istana Kehakiman, juga di Putrajaya .

“Kelab Tasik Putrajaya ini, saya menawarkan menu pada waktu tengahari dengan harga set jualan hanya RM30 seorang yang boleh dinikmati oleh dua orang termasuk air kordial dan hanya perlu membeli nasi putih tambahan.

“Bagi mengekalkan keistimewaan menu dan rasanya yang asli, saya mempunyai pembekal ikan patin segar dari Termerloh, Jerantut.

“Ikan patin sangkar biasa, patin buah sangkar dan patin buah liar jika dibeli dipasaran berharga RM180 sekilogram dan ikan karai sekitar RM90 sekilogram.

“Malah kadang-kadang saya akan turun sendiri ke pekan sari di Temerloh untuk beli stok segera serta juga  tempoyak, dengan kuantiti sekitar 200 kilogram,” kata anak jati Kuantan itu kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Restoran Samudera turut menawarkan menu lain seperti Barat, Cina dan menu goreng serta set hidangan minum petang.

Mesra disapa Pak Zain, beliau merupakan seorang usahawan yang berpengalaman dalam bidang makanan tradisional Pahang dan pernah menerima tempahan jamuan daripada golongan VIP termasuk bekas menteri untuk jamuan seramai 30,000 tetamu pada satu-satu majlis.

Pada peringkat awal, beliau sanggup mempelajari sendiri cara memasak ikan patin dan memulakan perniagaan bermodalkan kira-kira RM100,000.

Ditanya kelainan menu ikan patinnya, Pak Zain turut tidak menafikan keenakan sesuatu masakan itu bergantung pada kemahiran tukang masak dan bahan masakan yang cukup.

Disebabkan itu, segelintir restoran yang menyediakan ikan patin tempoyak ini kurang menyengat.

Beliau memberitahu, semuanya bergantung kepada sumber bahan untuk memasak iaitu cili dan tempoyak.

Suasana tenang dan damai untuk menikmati hidangan di Kelab Tasik Putrajaya.

Jelas lelaki berusia 74 tahun itu, ikan patin tempoyak hidangannya berwarna merah berbanding di kedai lain yang berwarna kekuningan kerana ia menggunakan campuran cili segar dan tempoyak yang berkualiti.

“Gabungan bahan ini telah menjadikan masakan itu sedap walaupun hanya menggunakan ikan patin sangkar biasa dan bukan patin buah sangkar atau patin buah liar.

“Cuma jika ingin menikmati menu di sini, pelanggan perlu membuat tempahan awal kerana ikan patin tempoyak perlu dimakan bersama nasi putih yang panas,” katanya.

Beliau turut memberitahu, restoran itu turut menawarkan menu lain seperti Barat, Cina dan menu goreng serta set hidangan minum petang bagi memenuhi citarasa pelanggan yang pelbagai.

Sementara itu, orang ramai yang ingin merasai air tangan Pak Zain bolehlah datang ke Restoran Samudera di Kelab Tasik Putrajaya.

Apa yang menarik, kelab ini menyediakan kawasan parkir yang percuma sambil menikmati hidangan dengan bertemankan pemandangan air tasik yang mendamaikan serta Pejabat Perdana Menteri yang tersergam indah di hadapannya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 03-8889 5008 atau layari www.kelabtasikputrajaya.com. – MalaysiaGazette