Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah negara diramal kekal mencabar disebabkan permintaan masih berkurangan.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, pertambahan hartanah baru yang dilancarkan oleh pemaju-pemaju bagi memastikan operasinya terus bertahan akan menambah jumlah hartanah yang tidak terjual.

Sedangkan, jumlah pembeli yang membeli hartanah adalah terhad kerana kediaman yang ditawarkan tidak mampu milik.

Kenanga Research menjangkakan pemaju-pemaju akan lebih agresif dalam memasarkan kediaman-kediaman yang tidak terjual untuk mengurangkan stok yang ada dan juga melupuskan pegangan tanah yang dimiliki.

Para pemaju hartanah dijangka menawarkan diskaun dan insentif untuk mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual bagi meningkatkan aliran tunai.

“Di sebalik persaingan sengit di tengah-tengah lebihan bekalan kediaman, aliran tunai akan menjadi keutamaan bagi syarikat-syarikat hartanah yang memiliki gearan tinggi,” kata firma penyelidikan itu.

Di peringkat kerajaan pula, kempen pemilikan rumah yang berakhir pada Disember lalu akan diteruskan untuk merangsangkan pasaran kediaman dan ekonomi.

Kerajaan telah menawarkan pelbagai insentif bagi pemilikan rumah dalam Belanjawan 2020.

Antaranya, memperkenalkan Skim Perumahan Belia akan menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh serta bantuan ansuran bulanan RM200 bagi tempoh dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.

Selain itu, Skim “Rent to Own” (sewa untuk dimiliki) bagi membantu isi rumah yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah pertama sehingga RM 500,000.

Menerusi skim tersebut, pemohon yang tidak mampu membayar deposit 10% hanya perlu membayar sewa bulanan selama lima tahun dan selepas setahun penyewa layak membeli rumah tersebut berdasarkan garis panduan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette