Nelang Cafe terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR – Industri makanan di Malaysia kini merupakan antara penyumbang utama yang membantu merancakkan ekonomi negara.

Walaupun ekonomi dalam negara sedang mengalami zaman kemurungan namun industri makanan terutama kafe dan restoran tetap bertahan.

Bertitik tolak dari situ seorang anak muda yang baru sahaja menggenggam segulung diploma dalam jurusan Kewangan menyahut cabaran untuk terjun dalam dunia perniagaan makanan ini.

Anak muda yang dimaksudkan ialah Mohamad Hanis Hazman Azizan, 21.

Dalam usia yang sangat muda, beliau tidak teragak agak untuk menjadikan perniagaan sebagai pekerjaan tetapnya.

Nelang Cafe dimiliki oleh Mohamad Hanis Hazman Azizan

Beliau berkata, niat untuk berniaga dalam bidang makanan timbul atas minat beliau sendiri.

“Tiada siapa yang mendorong saya. Memang saya sangat minat berniaga.

” Tiada seorang pun ahli keluarga saya yang terlibat dalam dunia perniagaan. Abang dan kakak saya semuanya bekerja dalam bidang masing masing” jelas anak muda lulusan Universiti Sultan Zainal Abidin ( KUSZA) ini.

Merealisasikan minatnya selama ini, beliau memberanikan diri untuk mengambil alih sebuah kafe yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Anak jati Kuala Terengganu ini kemudiannya terus merangka pelan pemasarannya sendiri sejurus selepas membeli kafe yang kemudiannya di tukar nama kepada Nelang Cafe ini.

“Nama Nelang membawa maksud kekuatan serta kegagahan dalam menghadapi cabaran,” jelas beliau kala ditanya mengapa nama Nelang menjadi pilihan.

Bilik khas berhawa dingin boleh disewa untuk majlis keraian tertentu seperti sambutan hari lahir, hari keluarga, reunion atau pun tahlil.

Beliau menambah, nama kafe ini menggambar kekuatan dalaman yang ada pada dirinya dalam menghadapi dunia perniagaan yang penuh pancaroba.

Walau baru setahun kafe ini diambil alih, beliau berasa syukur kerana kafe ini diterima baik oleh penduduk sekeliling dan para penuntut pusat pengajian tinggi berdekatan.

“Saya mahu menjadikan kafe ini sebagai tempat pelanggan saya membawa ahli keluarga untuk datang makan dengan selesa.

“Selain itu saya mahu juga kafe ini menjadi tumpuan para penuntut universiti mendapatkan makanan dengan harga yang berpatutan, “jelas beliau lagi.

Untuk itu, beliau telah merangka beberapa menu serta set makanan yang sesuai untuk setiap golongan pelanggan beliau.

Bagi pelanggan yang datang bersama ahli keluarga mereka boleh memilih sama ada untuk menikmati nasi ayam penyet atau pun nasi talapia penyet sebagai hidangan pilihan mereka.

Untuk kanak kanak pula, kafe ini menyediakan ayam goreng berempah apa rempah ayam ini dibuat sendiri lantas diperap bagi menaikkan rasa.

Ayam goreng berempah ini menjadi menu tarikan utama

“Ayam goreng berempah ini menjadi tarikan utama di kafe saya selain set Muroh Jebok dan set Kenyang Nyandor,” ujar beliau.

Menyedari keadaan ekonomi para penuntut sekarang, beliau terpanggil untuk menyediakan set makanan berkualiti serta harga berpatutan.

” Bagi penuntut saya sediakan set nasi ayam penyet, nasi goreng ayam, nasi ayam serta makanan barat dengan harga sangat murah,” tambahnya.

Beliau berkata, ini adalah antara usaha yang beliau mainkan bagi membantu para penuntut kini yang sering berhadapan dengan masalah harga makanan yang semakin mahal.

Mempelbagaikan lagi perkhidmatan, Nelang Cafe kini menyediakan sebuah bilik khas untuk majlis keraian.

Bilik khas berhawa dingin ini boleh disewa untuk majlis keraian tertentu seperti sambutan hari lahir, hari keluarga, reunion atau pun tahlil.

Kafe ini menjadi tumpuan para penuntut universiti mendapatkan makanan dengan harga yang berpatutan

Mengulas lanjut, memandangkan keadaan semasa yang mahukan sesuatu yang cepat dan mudah, Mohamad Hanis berhasrat untuk menyertai perkhidmatan penghantaran makanan Food Panda selain perkhidmatan penghantaran makanan terus dari kafe kepada para penuntut universiti.

Bagi beliau perkhidmatan yang cepat adalah antara tarikan utama di kafenya.

Beliau tidak mahu makanan yang ditempah sampai lambat sehingga membosankan pelanggan.

Selain itu beliau turut sentiasa memastikan meja telah dibersihkan sejurus selepas pelanggan bangun meninggalkan meja makanan. – MalaysiaGazette