Carlos Ghosn. foto AP

ISTANBUL/TOKYO – Pengendali pesawat peribadi Turki berkata bekas bos Nissan, Carlos Ghosn menggunakan dua pesawat secara haram bagi melarikan diri dari Jepun, dengan seorang kakitangan memalsukan rekod penyewaan untuk mengecualikan namanya dimasukkan dalam dokumen.

MNG Jet berkata, syarikat itu telah memfailkan aduan terhadap insiden tersebut, sehari selepas polis Turki menahan tujuh orang, termasuk empat juruterbang sebagai sebahagian daripada siasatan yang dilakukan ke atas laluan yang digunakan Ghosn untuk ke Lebanon melalui Istanbul.

Ghosn diburu selepas beliau mendedahkan semalam bahawa dia telah melaikan diri ke Lebanon dengan menggelar sistem kehakiman Jepun sebagai ‘penipuan’ yang mana beliau berdepan dengan dakwaan jenayah kewangan, lapor Reuters.

Semalam. Lebanon menerima waran Interpol untuk menahan Ghosn yang melarikan diri dari kediamannya di Tokyo untuk ke rumahnya di Beirut yang mana insiden tersebut masih tidak dapat dijelaskan.

Rangkaian televisyen Jepun, NHK yang memetik sumber siasatan berkata, kamera pemantau merakamkan Pengerusi Nissan Motor Co .itu meninggalkan kediamannya di Tokyo seorang diri sebaik sahaja sebelum beliau melarikan diri.

Rakaman keselamatan itu diambil daripada sebuah kamera yang dipasang di rumahnya di tengah kota Tokyo pada tengahari Ahad dan ia tidak menunjukkan beliau pulang ke rumah, kata NHK.

Menjelang awal Isnin, beliau telah mendarat di Istanbul.

MNG Jet dalam satu kenyataan berkata, ia telah menyewa dua buah pesawat kepada dua pelanggan yang berbeza dalam perjanjian yang ‘dilihat tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain’.
Salah sebuah pesawat terbang dari Osaka ke Istanbul dan sebuah lagi pesawat terbang dari Istanbul ke Beirut.

“Nama Encik Ghosn tidak kelihatan pada dokumen rasmi sebarang penerbangan,” katanya.

“Selepas mengetahui melalui media bahawa penyewaan memberi manfaat kepada Encik Ghosn dan tidak mengisytiharkan penumpang secara rasmi, MNG Jets melancarkan siasatan dalaman dan menfailkan satu aduan jenayah di Turki,” tambahnya.

Seorang kakitangan mengaku memalsukan rekod itu dan mengesahkan beliau ‘bertindak dalam kapasiti peribadii’, kata syarikat itu.

Juruterbang dan individu lain yang ditahan, termasuk dua kakitangan lapangan terbang dan pekerja kargo dihadapkan ke mahkamah hari ini selepas memberi keterangan kepada polis, menurut saksi kepada Reuters.

Ghosn berkata, beliau akan bercakap kepada umum mengenai insiden pada 8 Januari ini.

Beberapa media Lebanon melaporkan Ghosn diletakkan dalam bekas kayu yang digunakan untuk membawa alat muzik selepas konsert diadakan di rumahnya, namun isteri beliau menggelar laporan tersebut sebagai ‘fiksyen’.

NHK berkata, polis mengesyaki Ghosn mungkin telah meninggalkan kediamannya untuk menemui seseorang sebelum menuju ke lapangan terbang.

Di bawah syarat jaminannya, Ghosn perlu memasang kamera keselamatan di pintu masuk rumah beliau. – Agensi