Maximus Ongkili

KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“PBS telah memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya itu.

“Keputusan ini juga bagi menyokong pandangan dalam kalangan parti pembangkang bahawa kita perlu mengelak daripada perpecahan undi dalam kalangan penyokong kita,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik parti itu di Donggongon, dekat sini, hari ini.

Penamaan calon bagi PRK itu diadakan esok manakala pengundian pada 18 Januari.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum ke-14 selepas petisyen yang difailkan Datuk Karim Bujang daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Karim tewas dengan majoriti 156 undi kepada Anifah yang ketika itu bersama Barisan Nasional (BN), dalam pertandingan tiga penjuru. – Bernama