Rakyat Amerika dinasihat meninggalkan Iraq berikutan ketegangan yang dijangka berlaku.

BAGHDAD – Kedutaan Amerika Syarikat di sini meminta rakyatnya keluar dari Iraq dengan segera berikutan ketegangan yang semakin ketara selepas Amerika Syarikat membunuh pegawai tertinggi tentera Iran, Qasem Soleimani.

Soleimani dan komander tentera Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad selepas mendapat kebenaran daripada Presiden Donald Trump.

Sejurus selepas serangan itu, Amerika Syarikat mengeluarkan nasihat perjalanan yang membawa risiko tinggi tahap 4, yang bermaksud “Jangan mengembara”.

“Jangan mengembara ke Iraq kerana keganasan, penculikan dan konflik bersenjata,” menurut notis tersebut.

Dalam amaran keselamatannya, kedutaan Amerika Syarikat berkata: “Oleh kerana ketegangan yang semakin meningkat di Iraq dan rantau ini, Kedutaan Amerika Syarikat menggesa warga Amerika untuk memantau Nasihat Perjalanan Januari 2020 dan keluar dari Iraq dengan segera”.

“Warga negara Amerika Syarikat harus keluar melalui syarikat penerbangan secepat mungkin dan jika gagal, perlu bergerak ke negara lain melalui darat,” katanya.

Warga Amerika Syarikat juga dilarang berada di kawasan Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad.

“Disebabkan serangan yang disokong Iran dilakukan di kompleks Kedutaan Amerika Syarikat, semua operasi konsular awam digantung sehingga pemberitahuan selanjutnya. Warga AS tidak boleh mendekati kedutaan,” kata kedutaan itu.

Bagaimanapun, Konsulat Amerika Syarikat di Erbil dibuka untuk visa dan temujanji Perkhidmatan Warga Amerika, termasuk urusan pasport.”

Warga AS di Iraq atau mereka yang bimbang tentang keluarga mereka di negara ini dinasihatkan untuk menghubungi Jabatan Negara.

Soleimani adalah seorang jeneral tentera yang dianggap sebagai tokoh kedua paling berkuasa di Iran selepas pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Serangan yang dilakukan Amerika Syarikat menandakan peningkatan dramatik dalam “perang bayangan” di Timur Tengah antara Iran dan Amerika Syarikat dan sekutunya, terutamanya Israel dan Arab Saudi. – MalaysiaGazette