Puluhan ribu orang berarak di Baghdad sebagai tanda sedih ekoran kematian Qassem Soleimani dan Abu Mahdi al-Muhandis. foto Agensi

BAGHDAD – Puluhan ribu orang berarak di Baghdad sebagai tanda berkabung susulan kematian pemimpin tertinggi tentera Iran, Qassem Soleimani dan komander Abu Mahdi al-Muhandis, pemimpin tentera Iraq, yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS).

Gholamali Abuhamzeh, seorang komandan kanan Pengawal Revolusi Elit Iran berkata, Tehran akan menghukum warga Amerika “di mana pun mereka berada” dan menimbulkan kemungkinan serangan terhadap kapal-kapal di Teluk.

Kedutaan AS di Baghdad menggesa rakyatnya supaya meninggalkan Iraq selepas serangan di lapangan terbang Baghdad yang mengorbankan Soleimani.

Puluhan pekerja AS yang bekerja di syarikat minyak asing mula meninggalkan bandar Basra di selatan Iraq pada hari Jumaat.

Britain pula memberi amaran kepada rakyatnya untuk mengelakkan semua perjalanan ke Iraq, di luar wilayah Kurdistan autonomi dan mengelakkan perjalanan ke Iran.

Tindakan membenarkan serangan udara ke atas pemimpin tentera Iran itu, Presiden Donald Trump telah mengheret Washington dan sekutu-sekutunya, khususnya Arab Saudi dan Israel dalam konfrontasi dengan Iran dan sekutu-sekutunya merentasi rantau itu.

Soleimani, seorang jeneral berusia 62 tahun, adalah komander ketenteraan utama Tehran dan – sebagai Ketua Angkatan Quds, merupakan ‘arkitek’ yang meluaskan pengaruh Iran di Timur Tengah.

Muhandis pula adalah Timbalan Komander Popular Mobilization Forces (PMF) – sayap bagi kumpulan separa tentera.

Perarakan diaturkan oleh PMF yang mengusung mayat Soleimani, Muhandis dan individu warga Iraq yang turut terbunuh dalam serangan AS di Zon Hijau di Baghdad.

Mereka yang berarak termasuk anggota tentera yang menyifatkan Muhandis dan Soleimani adalah seorang hero.

Sambil membawa bendera Iraq dan potret kedua-dua mangsa itu, mereka membawa sepanduk dan menyanyikan lagu “No No Israel” dan “No No America”.

Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi dan komander tentera Iraq, Hadi al-Amiri, sekutu dekat Iran dan yang turut serta dalam perarakan tersebut. – MalaysiaGazette