Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Terdapat bukti klinikal yang menunjukkan ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam boleh meningkatkan jangkitan influenza seperti radang otak dalam kalangan kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dengan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menasihatkan supaya penggunaan NSAID dielakkan ketika mengendalikan pesakit virus influenza terutama di bawah umur lima tahun.

Tambahnya, jika terdapat keperluan, guna ubat paracetamil mengikut dos yang tepat di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah.

Penjaga juga perlu memastikan pesakit minum air secukupnya supaya kekal terhidrat.

Sekiranya demam atau gejala penyakit influenza seperti demam selsema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan masih tidak berkurangan, pesakit perlu dibawa berjumpa dengan doktor dengan segera.

“Selain itu, sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan influenza pula, KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat.

“Orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi khususnya adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza pula dinasihatkan untuk mengamalkan perkara berikut:

  • Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan;
  • Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah;
  • Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain;
  • Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.

-MalaysiaGazette