Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap semasa sidang media pada Program Pingat Emas Bagi Murid-Murid Cemerlang UPSR di MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 JANUARI 2020

SERDANG – Penetapan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri sebaiknya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapannya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan perbincangan dapat berlangsung dalam suasana yang harmoni.

Pada masa sama tegas Ahli Parlimen Port Dickson, isu penetapan tarikh itu tidak perlu dihangatkan lagi.

“Seperti mana kita setujui, ini harus dibincang bersama saya dengan Perdana Menteri dan jugak sebaiknya dalam forum Majlis Presiden.

“Dan dalam kalangan yang mahu juga satu tarikh kepastian tetapi wajar dibincangkan dalam suasana lebih baik dan tidak perlu dihangatkan isu ini.

“Kebimbangan yang disuarakan kerana ada dianggap percubaan luar untuk mengugat ini tetapi saya tidak fikir ia harus alih pandangan kita terhadap isu-isu yang pokok dalam negara kita sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas kepada Murid-Murid Cemerlang UPSR SJKT Selangor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang Sekretariat PH memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei ini. bagi menjamin kelangsungan agenda PH.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut percaya penetapan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri akan mencerminkan kesepakatan utuh dalam PH.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, penetapan itu juga boleh mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan pihak pembangkang. – MalaysiaGazette